Bekas Speaker DUN Kedah, Md Rozai Shafian meninggal dunia

Allahyarham Md Rozai
Allahyarham Md Rozai
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Md Rozai Shafian meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada malam Isnin.

Anak Allahyarham, Anas Aidi berkata, bapanya meninggal dunia di sisi keluarga disebabkan komplikasi dalaman pada jam 11.40 malam.

Menurutnya, kesihatan arwah merosot sejak dua minggu lalu dan dimasukkan ke sebuah pakar perubatan swasta di sini. sebelum dipindahkan ke HSB.

“Arwah bapa kemudian dipindahkan ke HSB dan sepatutnya menjalani satu prosedur perubatan tetapi keadaannya tidak stabil sejak empat hari lalu.

“Paras oksigen bapa juga menurun menyebabkan doktor tidak dapat melakukan proses seterusnya sebelum beliau disahkan meninggal dunia malam tadi (Isnin),” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Md Rozai menjadi Speaker DUN Kedah dari 2013 hingga 2018 dan meninggalkan isteri, Datin Khalijah Ghazali serta enam anak.

Kehilangan Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 69 tahun turut dirasai oleh UMNO Kedah.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya merakamkan penghargaan atas segala jasa dan bakti Allahyarham sepanjang usianya bersama kepimpinan UMNO negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sesungguhnya UMNO Negeri Kedah telah kehilangan seorang bekas pemimpin yang banyak meninggalkan jasa khususnya ketika Allahyarham berkhidmat selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan juga sebagai Ketua UMNO Bahagian Pendang dan kemudiannya selaku Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sebelum terjun ke dunia politik untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang pada tahun 1999.

Allahyarham berkhidmat sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah pada tahun 1996 hingga 1999 untuk pertama kali dan kemudiannya sekali lagi dilantik menjawat tugas itu pada tahun 2016 hingga 2018.

Allahyarham menerajui UMNO Pendang selaku Ketua Bahagian bermula pada tahun 2004 hingga 2018.

"Allahyarham merupakan sahabat lama saya yang dikenali lebih 30 tahun lalu. Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan para solihin," ujar Mahdzir lagi.

Jenazah Allahyarham Md Rozai dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur pada Selasa di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin di Kobah, Pendang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28