Sasterawan Singapura, Suratman Markasan meninggal dunia

Suratman menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2 pagi Selasa.
Suratman menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2 pagi Selasa.
A
A
A

SINGAPURA - Sasterawan Singapura, Suratman Markasan, yang merupakan pemegang Anugerah Tun Seri Lanang, meninggal dunia pada Selasa di Singapura pada usia 93 tahun.

Pemergian pemegang anugerah berprestij persuratan Melayu Singapura itu dimaklumkan oleh tokoh bahasa dan persuratan Malaysia, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan, melalui laman Facebook miliknya setelah menerima perkhabaran tersebut daripada anak perempuan Allahyarham, Suriani Suratman.

Awang berkata, beliau dimaklumkan Suratman menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2 pagi tadi.

"Dalam kunjungan berceramah hamba ke Singapura akhir Januari lalu, beliau berada di wad dan berkirim salam kepada hamba,” kata Awang dalam catatannya yang turut berkongsi sebuah puisi bagi memperingati perjuangan Suratman dalam dunia persuratan Melayu.

Media tempatan melaporkan Suratman sudah lama sakit dan keluar masuk hospital.

Wawancara terakhir beliau bersama media Detik Personaliti ditangguhkan beberapa kali kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Menurut National Library of Singapore, Suratman merupakan seorang penyair, novelis dan perintis sastera yang disegani di Singapura.

Artikel Berkaitan:

Lahir di Singapura pada tahun 1930, Suratman mula menulis pada awal tahun 1950-an dan kerjaya beliau dalam bidang sastera bermula dari awal tahun 1950-an hingga sekarang.

Antara anugerah yang diterimanya, termasuk Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) (1989); Pingat Budaya Singapura (2010) dan Anugerah Sasterawan Mastera (Majlis Sastera Asia Tenggara) (2014) yang dianugerahkan oleh Mastera Brunei.

Beliau juga telah menulis banyak kertas kerja mengenai sastera Melayu, bahasa dan budaya yang kemudiannya dibentangkan di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Suratman mengambil bahagian secara aktif dalam persatuan sastera, bahasa dan budaya di Singapura melalui peranan penting yang dipegangnya dalam Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50) dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura.

Beliau menulis puisi pertamanya "Hati yang Kosong” ("An Empty Heart”) pada tahun 1954, sebuah karya menggambarkan usahanya mencari makna dalam kehidupan.

Suratman juga merupakan penulis Singapura pertama yang menjadi penulis jemputan bagi Dewan Bahasa dan Pustaka di Malaysia pada tahun 1991.

Kebanyakan karya sastera Suratman mengupas tema-tema berkaitan Singapura serta kebimbangan yang dinyatakan oleh masyarakat Melayu di Singapura.

Beliau memberikan kritikan terhadap apa yang beliau anggap sebagai tindakan atau idea yang tidak diingini dan penulisannya mencerminkan pengamatannya terhadap perubahan sosial, budaya dan politik yang memberi kesan kepada masyarakat Melayu. - Bernama