Undang-undang sedia ada memadai, tapi penguatkuasaan perlu lebih efisien - Pakar

Negara dilaporkan mengalami kerugian RM4.5 juta disebabkan ketirisan 3 juta liter diesel seludup ke luar negara setiap hari. (Gambar kecil: Khairil Azmin)
Negara dilaporkan mengalami kerugian RM4.5 juta disebabkan ketirisan 3 juta liter diesel seludup ke luar negara setiap hari. (Gambar kecil: Khairil Azmin)
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan penguatkuasaan dengan kerjasama padu daripada pelbagai agensi kerajaan merupakan kayu pengukur dalam menjadikan undang-undang sedia ada lebih efisien bagi mengatasi ketirisan bekalan diesel yang diseludup ke luar negara.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, meskipun peruntukan akta sedia ada lebih bersifat umum, tiada keperluan untuk melakukan pindaan atau mewujudkan akta khusus bagi kes berkenaan.

Menurutnya, mereka yang didapati bersalah terlibat dengan aktiviti penyeludupan boleh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta dan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.

“Jika pesalah dikenal pasti melakukan kesalahan sama dan ditangkap lagi, denda boleh naik lagi sehingga RM 3 juta, penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Akta kawalan ini memang bersifat umum kerana melibatkan keperluan asas yang mendapat subsidi kerajaan. Di bawah akta sedia ada, ia sudah memadai dan jika ada keperluan untuk digubal, pihak berkuasa akan kaji dan syorkan kerana ia melibatkan banyak agensi.

“Kita harapkan penguatkuasaan yang lebih efektif, kerjasama antara agensi yang lebih mantap, dan pengguna juga dapat mainkan peranan untuk menyekat aktiviti ini.

“Undang-undang kalau diubah macam mana sekalipun, ia tak akan mencapai tujuan kalau penguatkuasaan itu lemah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau mengulas sekiranya wujud keperluan untuk kerajaan menggubal akta baharu susulan laporan negara mengalami kerugian RM4.5 juta disebabkan ketirisan 3 juta liter diesel seludup ke luar negara setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, jumlah itu diperoleh hasil daripada kajian yang diterbitkan di peringkat antarabangsa menerusi Majlis Perniagaan EU-Asean.

Mengulas lanjut, Khairil Azmin berkata, pelaku jenayah penyeludupan boleh dikategorikan sebagai pengkhianat negara kerana melibatkan sumber asas yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia sahaja.

Katanya, usaha membanteras kegiatan berkenaan perlu diperkasakan agar penyelewengan terhadap keistimewaan subsidi yang dinikmati rakyat tidak terus menguntungkan penjenayah.

"Semua pihak perlu sedar, jika ia berterusan, bukan sahaja menyebabkan ekonomi negara terjejas, tetapi bekalan untuk pengguna kita sendiri juga akan berkurangan," katanya.