Perlu gubal undang-undang berkait 3R - Takiyuddin

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangkang berpandangan Kerajaan Madani perlu menggubal undang-undang baharu bagi kesalahan berkait isu agama, kaum dan institusi raja (3R).

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendakwa, undang-undang sedia ada ketika ini masih kurang jelas dalam mentafsirkan mengenai kesalahan dalam isu 3R.

"Kita sebenarnya tidak jelas (tentang) apa kesalahan yang dikaitkan atau dimaksudkan dengan 3R ini.

"Apa kesalahan yang boleh diklasifikasikan dalam perkara yang tergolong dengan 3R ini.. Apakah (ia berkait dengan apa sahaja) mengenai agama, raja dan kaum dan pada tahap mana (ia dianggap salah)," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Justeru, cadangan diwujudkan undang-undang itu juga adalah sebagaimana saranan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Buat undang-undang, telitikan perkara yang tidak boleh disebut dan sebagainya.

"Kita harap Kerajaan Madani pada hari ini melaksanakan ketamadunan, jangan teruskan undang-undang dahulu (yang tidak jelas) yang dikatakan undang-undang hutan rimba," dakwanya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tafsiran tidak jelas mengenai isu itu sekarang menyaksikan ramai pemimpin politik disiasat tanpa asas jelas.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kata beliau, beberapa kes dirujuk di mahkamah yang secara langsung menyentuh isu 3R tidak pula dikenakan apa-apa tindakan.

Dengan mengambil contoh satu petisyen mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah, Takiyuddin menegaskan, tindakan sebegitu juga sepatutnya boleh dianggap menyentuh isu 3R.

"Sekarang ini (kes mencabar enakmen Kelantan itu) menunggu untuk keputusan di Mahkamah Persekutuan. Orang itu bagi kita sudah melakukan tindakan yang bercanggah, menyentuh 3R, agama, sensitiviti dan raja yang menjadi ketua agama di negeri-negeri.

"Sultan Kelantan (Sultan Muhammad V) sudah bertitah baru-baru ini mengenai cabaran ini. Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah memberi amaran supaya tindakan diambil termasuk meminda undang-undang, membendung perkara ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!