Jiwai al-Quran dengan faham maksud

NOOR HAYATI
NOOR HAYATI
A
A
A

SHAH ALAM - Al-Quran adalah kitab suci bagi umat Islam dan untuk benar-benar menjiwainya, pemahaman terhadap maksudnya adalah penting.

Bagi Noor Hayati Mohd Zain, 62, aplikasi Think Quran adalah cara yang efektif untuk mencapai tahap pemahaman itu.

Dia yang juga pengguna Think Quran berkata, aplikasi itu banyak membantunya mengingati kosa kata yang terdapat di dalam al-Quran.

Katanya, Think Quran turut mengubah perspektif pembacaan al-Quran kerana pengguna dapat merasai peningkatan pemahaman ketika membaca al-Quran apabila lebih banyak kosa kata yang telah dipelajari.

“Dalam kejahilan membaca al-Quran tanpa memahaminya, kita berasa diri kita betul. Tetapi sebenarnya, kita mempunyai pilihan dan cara yang lebih baik untuk memperbaiki hubungan dengan al-Quran.

“Kita perlu bermula dengan diri sendiri untuk berubah, dan kemudian menyebarkannya kepada yang lain. Kita mahu agar lebih ramai orang dapat memahami maksud al-Quran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Ujarnya, pemahaman al-Quran tidak hanya memberi kesan kepada ibadah solat, tetapi juga kepada kehidupan harian.

“Apabila kita membaca al-Quran dengan pemahaman, kita boleh mengalirkan air mata dalam solat atau pada bila-bila masa. Setiap ayat di dalam al-Quran mempunyai cerita dan panduan yang penting bagi umat Islam.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah pengalaman yang sukar diungkapkan, tetapi hanya dapat dirasai oleh mereka yang mengalaminya sendiri,” ujarnya.

Aplikasi Think Quran yang dibangunkan oleh Think Osem Sdn Bhd turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Karya Bestari bagi menganjurkan kempen #FahamKhatamAlQuran untuk menggalakkan orang ramai menguasai setiap kandungan di dalam al-Quran.

Aplikasi tersebut menawarkan kaedah yang efektif untuk mempelajari bahasa Arab dengan menggunakan kosa kata yang paling kerap berulang meliputi keseluruhan kitab suci itu.