Isu Palestin-Israel: Mapim gesa umat Islam sambut fatwa ulama sedunia

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Negara-negara Islam dan golongan Muslim seluruh dunia digesa memberikan respon terhadap fatwa dikeluarkan Kesatuan Ulama Antarabangsa yang menetapkan keperluan tentera rasmi dengan segera mengambil tindakan untuk menghalang Israel menghancurkan Gaza, Palestin.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, fatwa tersebut disifatkan amat tepat dengan keadaan kritikal yang dihadapi rakyat Gaza ketika ini.

Menurutnya, ia sudah menjadi kewajipan syarak untuk tidak membenarkan jenayah genosid atau pembunuhan beramai-ramai dilakukan Israel yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan hak kemanusiaan.

“Fatwa ini menegaskan kewajipan agama kepada seluruh umat Islam terkait membela Palestin yang ditindas dan golongan ‘mustadhafin’ (dhaif).

“Ia memberi penjelasan mengenai sikap yang perlu diambil golongan Muslim dan negara Islam dalam memberi dalil syariah supaya sokongan keagamaan, moral, politik serta perundangan dinyatakan dengan tegas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kerana rakyat Palestin jelas dalam keadaan yang sangat dizalimi sejak 1948, bermula daripada penaklukan dan perampasan tanah sehingga penindasan selama lebih 75 tahun.

Justeru, pihaknya turut meminta agar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memberikan perhatian kepada fatwa tersebut agar ia diterjemahkan menerusi tindakan yang berkesan bagi melindungi warga Palestin serta mengembalikan semula hak rakyat negara itu.

Tambah Mohd Azmi, ulama di negara ini perlu menggembleng tenaga umat Islam untuk melancarkan jihad dalam apa sahaja bentuk yang termampu untuk membela warga Palestin dan menentang kekejaman Israel.

Artikel Berkaitan:

“Dengan tindakan (Israel) yang sangat menjijikkan dan ganas, intervensi ketenteraan sudah sampai ke tahap wajib.

"Pelanggaran pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau keangkuhan rejim Zionis yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan kebanyakan kuasa Barat melakukan operasi paling ganas di Gaza serta Tebing Barat.

“Setakat kenyataan ini dikeluarkan, hampir 10,000 nyawa orang awam di Palestin (maut), termasuk 4,000 kanak-kanak dan 3,000 wanita, angka ini terus meningkat," ujarnya.