Baru bersunat, tapi tetap nak ikut beli kelengkapan sekolah

Muhammad Aiman Hariz (kanan) mencuba kasut sekolah baharu yang dipakaikan oleh bapannya.
Muhammad Aiman Hariz (kanan) mencuba kasut sekolah baharu yang dipakaikan oleh bapannya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Walaupun baru empat hari bersunat, seorang kanak-kanak teruja apabila berpeluang membeli kelengkapan persekolahan melalui program 'Kembali Ke Sekolah' anjuran Pertubuhan Kebajikan Fisabilillah Negeri Terengganu (Fisabilillah Terengganu).

Muhammad Aiman Hariz Mahabizan, 10, dibawa keluar untuk membeli keperluan itu dengan ditemani ibu bapanya, Norhadibah Mohd Arsad, 40, dan Mahabizan Razal, 43, serta tiga adiknya.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang, Marang itu berkata, luka kesan berkhatan tidak begitu dirasai kerana dia teruja untuk memilih keperluan sekolah yang akan digunakan untuk penggal persekolahan 2024 yang akan bermula 11 Mac nanti.

"Saya dan dua lagi adik terpilih untuk membeli peralatan sekolah iaitu kasut, stoking dan beg.

"Disebabkan baru sahaja bersunat, jadi saya tak boleh banyak berjalan dan perlu duduk di kerusi dalam kedai. Ayah akan bawa kasut untuk ukur sama ada ia muat, sesuai atau tidak, " kata ketika ditemui pemberita, di sini.

Sementara itu, Mahabizan berkata, dia bersyukur kerana tiga anaknya terpilih untuk menyertai program itu sekali gus dapat meringankan bebanan kewangan yang ditanggung.

Katanya, anak-anaknya terpilih untuk membeli kasut, stoking dan beg sekolah dengan peruntukan sebanyak RM120 setiap orang.

"Sekarang ni kalau kita tengok harga barang-barang sekolah pun makin mahal, dengan adanya program ni ia banyak membantu meringankan beban kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikutkan, tahun ni nanti banyak juga duit nak guna untuk persiapan Aidilfitri lagi, sebab itulah perlu berjimat," katanya yang bekerja sebagai buruh binaan.

Zalina (kiri) bersama anaknya, Nur Ain Syakira memilih keperluan persekolahan ketika 'program Kembali Ke Sekolah ' anjuran Fisabilillah Terengganu.
Zalina (kiri) bersama anaknya, Nur Ain Syakira memilih keperluan persekolahan ketika 'program Kembali Ke Sekolah ' anjuran Fisabilillah Terengganu.

Seorang pekerja kilang keropok, Zalina Ali, 47, pula berkata, dia lega kerana anak bongsunya, Nur Ain Syakira Zaki, 17, turut terpilih untuk menerima sumbangan itu.

Ujarnya, keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang musim tengkujuh baru-baru ini mempengaruhi sumber pendapatan dan kewangan mereka sekeluarga.

"Baru-baru ini kilang tutup agak lama sebab musim tengkujuh. Sebenarnya saya baru bekerja pada bulan ini.

"Sebab itulah saya bersyukur sangat dan lega bila dapat bantuan macam ni," katanya yang tinggal di Kampung Pengkalan Setar, di sini.

Sementara itu, wakil Fisabilillah Terengganu, Muhammad Syariezal Ab Rashid berkata, seramai 110 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, asnaf dan anak yatim dari tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang terpilih sebagai penerima pada program kali ini.

Menurutnya, nilai bantuan pada tahun ini terpaksa dikurangkan kepada RM120 daripada jumlah kebiasaan RM150 yang diberikan tahun lalu akibat kekurangan dana.

"Program 'Kembali Ke Sekolah' ini telah memasuki tahun kelapan sejak Fisabilillah ditubuhkan pada 2016. Selain ini kita ada pelbagai program lain antaranya menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Kita harap dengan bantuan ini mereka dapat ke sekolah dengan gembira kerana sudah ada kelengkapan sekolah baharu dan dalam masa yang sama dapat membantu meringankan bebanan kewangan ibu bapa mereka, " katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28