Banjir: 22 sekolah di Terengganu ditutup

JPNT juga mengesyorkan sekolah-sekolah yang terkesan dengan banjir supaya mengambil cuti bencana. - Foto Bernama
JPNT juga mengesyorkan sekolah-sekolah yang terkesan dengan banjir supaya mengambil cuti bencana. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 22 sekolah di empat daerah di Terengganu terpaksa ditutup sementara susulan dilanda banjir selain dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) pada Selasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) (Sektor Pengurusan Sekolah) Terengganu, Azman Othman @ Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan 13 sekolah yang dinaiki air manakala sembilan lagi dijadikan PPS.

"Sebanyak 10 sekolah yang dinaiki banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Kubang Ikan, SK Pusat Kuala Ibai, SK Kedai Buluh, SK Losong dan SK Bukit Bayas.

"Ia juga melibatkan SK Kampung Bukit Chendering, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, SMK Sultan Mansor dan Sekolah Menengah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik.

"Selain itu, SK Bukit Puteri di Besut, SMK Padang Kemunting (Kuala Nerus) dan SMK Intan Zaharah (Dungun) juga dinaiki air,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azman berkata, empat sekolah yang dijadikan PPS di bandar raya ini pula ialah SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek.

Menurutnya, empat sekolah di Kuala Nerus pula dijadikan PPS iaitu SK Bukit Tunggal, SK Bukit Nanas, SK Teluk Ketapang dan SK Tol Jembal, manakala di Marang hanya melibatkan SK Bukit Gasing.

Dalam pada itu, Azman menyatakan JPNT mengesyorkan sekolah-sekolah yang terkesan dengan banjir supaya mengambil cuti bencana.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan sekolah dijadikan PPS yang menempatkan ramai mangsa banjir dan melibatkan penggunaan banyak bilik darjah,” jelasnya.