Bomba Sukarela Lembah Subang perlukan dana beli kelengkapan

Anggota pasukan Bomba Sukarela Lembah Subang bersama sut kalis api yang menjadi keperluan utama ketika tugas pemadaman kebakaran.
Anggota pasukan Bomba Sukarela Lembah Subang bersama sut kalis api yang menjadi keperluan utama ketika tugas pemadaman kebakaran.
A
A
A

PETALING JAYA - Persatuan Bomba Sukarela Lembah Subang memerlukan sejumlah dana bagi melengkapkan keperluan peralatan bagi penugasan pasukan itu.

Pengerusinya, Kapten (B) Baharin Mohd Tahir berkata, sejak ditubuhkan pada 2017, pasukan itu telah banyak membantu menyelesaikan kes kebakaran kecil di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang dekat sini.

Menurutnya, ketika ini pihaknya hanya menerima dana tahunan sebanyak RM3,000 daripada bomba, namun jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung kos membeli peralatan.

“Kami memerlukan kelengkapan seperti alat pemadam api, uniform, alat telekomunikasi dan kenderaan bagi memudahkan pasukan bergerak,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan Ahli Majlis MBPJ Zon 4, Ikhsan Mohd Din pada Sabtu

Jelasnya, buat masa ini pasukan itu hanya mempunyai sebuah van lama yang disumbangkan oleh pasukan lain.

Baharin (kanan) bersama anggota pasukan Persatuan Bomba Sukarela Lembah Subang.
Baharin (kanan) bersama anggota pasukan Persatuan Bomba Sukarela Lembah Subang.

“Van itu masih boleh digunakan cuma kami terpaksa keluar kos membaik pulih kerana kerap rosak,” katanya,

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai aktiviti dan latihan pasukan itu, Baharin berkata, mereka menerima latihan daripada pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya.

“Setakat ini semua ahli pasukan kami sudah tamat latihan dan penugasan kami di kawasan amat diperlukan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan sebelum kehadiran pihak bomba,” ujarnya.

Baharin turut mengharapkan syarikat swasta mahupun dermawan dapat menyumbang kepada persatuan itu demi kebaikan masyarakat setempat.

Sebarang pertanyaan dan berkenaan Persatuan Bomba Sukarela Lembah Subang boleh hubungi Baharin di talian 013-5184630.