'Kita harap sangat enam laluan gajah ini segera ditutup'

Syed Rosli (gambar kecil) menunjukkan salah satu laluan gajah masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di Felda Lasah di sini pada Khamis. Gambar kecil dua dari kiri: Ahmad Termizi, Khairuddin
Syed Rosli (gambar kecil) menunjukkan salah satu laluan gajah masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di Felda Lasah di sini pada Khamis. Gambar kecil dua dari kiri: Ahmad Termizi, Khairuddin
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kehadiran sekawan gajah memasuki kawasan tanaman kelapa sawit di Felda Lasah di sini menggusarkan peneroka dan pemilik ladang yang terpaksa berdepan risiko keselamatan serta kerugian akibat haiwan liar itu.

Seorang pengusaha tanaman kelapa sawit, Syed Rosli Syed Osman, 52, berkata, biarpun ada parit besar yang dibina sepanjang kira-kira 10 kilometer, namun terdapat sekurang-kurangnya enam laluan untuk haiwan tersebut masuk ke kawasan tanaman.

Menurutnya, enam laluan tersebut kebanyakannya di kawasan yang mempunyai kedalaman cetek menyebabkan gajah dapat menyeberang.

"Kalau tengok kedalaman parit itu nampak macam siap tetapi ada kawasan yang berisiko dimasuki gajah dibiarkan terbuka ibarat rumah tiada pintu dan tingkap. Keadaan ini akan menyebabkan gajah berterusan masuk, ada yang sampai 27 ekor.

"Kita harap ada penyelesaian dapat dibuat untuk menghalang gajah ini masuk sama ada dipasang pagar elektrik atau penghalang supaya gajah tak merosakkan tanaman," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Felda Lasah di sini pada Khamis.

Ahmad Termizi Yusof, 55, pula merayu agar masalah tersebut segera diselesaikan oleh pihak berkaitan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sebahagian kawasan parit yang dibina bagi menghalang haiwan liar itu memasuki kawasan ladang kelapa sawit.
Sebahagian kawasan parit yang dibina bagi menghalang haiwan liar itu memasuki kawasan ladang kelapa sawit.

Menurutnya, bukan sahaja anak pokok dan pokok-pokok dewasa, pondok teduh pekerja serta palang masuk ke kawasan ladang turut dirosakkan kawanan gajah terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap sangat enam laluan ini segera ditutup. Kos bagi tujuan ini janganlah pula dibebankan kepada peneroka sebab mereka sudah ada banyak hutang.

"Lagipun masalah ini sudah disuarakan beberapa kali tapi alasan diberikan adalah tiada bajet," katanya lagi.

Sementara itu Ketua Peneroka Felda Lasah, Khairuddin Mohamed menjelaskan, masalah enam laluan gajah yang dikenal pasti itu sudah berada dalam pengetahuan pihak pengurusan Felda.

Menurutnya, kertas kerja mengenai penyelesaian masalah tersebut sudah dihantar kepada pihak pengurusan Felda malah turut dipanjangkan ke pengetahuan pihak kerajaan negeri, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diberikan perhatian segera.

Pokok kelapa sawit tumbang dipercayai angkara gajah yang memasuki kawasan ladang.
Pokok kelapa sawit tumbang dipercayai angkara gajah yang memasuki kawasan ladang.

Katanya, kawasan yang terjejas itu melibatkan 40 peneroka dengan hasil diperolehi berkurangan kepada 30 peratus disebabkan masalah gangguan gajah tersebut.

"Binaan khas akan dibuat untuk menghalang gajah tersebut daripada memasuki kawasan ini. Kos keseluruhan dianggarkan menelan belanja RM600,000.

"Kita juga sudah mendapat jaminan bahawa peruntukan untuk membiayai pembinaan halangan tersebut akan ditanggung Felda dan tidak melibatkan wang peneroka," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati terdapat beberapa anak pokok kelapa sawit yang rosak selain ada pokok-pokok yang rebah akibat gajah tersebut.

Terdapat juga kesan laluan gajah berhampiran parit yang dibina berhampiran ladang kelapa sawit berkenaan.