Selangor perkenal tanaman melon di Pandan Indah

Amirudin melihat hasil melon ditanam menggunakan kaedah hidroponik di Pandan Indah pada Sabtu.
Amirudin melihat hasil melon ditanam menggunakan kaedah hidroponik di Pandan Indah pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - Selepas kejayaan tanaman jagung bijirin, Selangor kini perkenal tanaman melon berkonsep pertanian agro bandar di Pandan Indah.

Projek berkonsep hidroponik atas tanah berkeluasan 8,000 kaki persegi itu telah mengeluarkan hasil 2,000 biji melon selepas tempoh tuaian selama dua bulan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tanaman itu berpotensi untuk dikembangkan susulan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Menurutnya, lokasi berkenaan akan dijadikan pusat contoh dan kajian untuk pembukaan tanaman melon di tempat lain.

Hasil melon selepas tuaian selama dua bulan.
Hasil melon selepas tuaian selama dua bulan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersedia menjalinkan kerjasama dengan pengusaha dan pekebun yang berminat menceburi tanaman tersebut.

"Projek ini bagi tujuan komersil dan jualan. Disebabkan itu, tumpuan terarah kepada pengusaha sedia ada.

"Jika komuniti berminat, kerajaan negeri boleh bantu namun bantuan kewangan tidak boleh diberi kesemua tempat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Agro Bandar Tanaman Melon di Pandan Indah di sini.

Turut hadir, Exco Infrastruktur dan Pertanian, Ir Izham Hashim serta Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah.

Sementara itu, Izham berkata, penanaman melon membawa pulangan lumayan apabila dengan bermodalkan RM30,000 namun hasil jualan mampu mencecah sehingga RM120,000.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan memperluaskan projek berkenaan bagi tujuan komersil.

"Ada beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan. Mungkin guna tanaman secara berkelompok yang hasilnya dikumpulkan untuk dipasarkan.

"Ia menggunakan kaedah penanaman sama supaya melon dihasilkan mengikut saiz standard ditetapkan untuk dipasarkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!