Nelayan Sungai Ular terpaksa tunggu air pasang angkara muara cetek

Bot nelayan yang tersadai akibat air sungai cetek. (Gambar kecil: Mohamad Azam, Mohd Tajul dan Zakaria.)
Bot nelayan yang tersadai akibat air sungai cetek. (Gambar kecil: Mohamad Azam, Mohd Tajul dan Zakaria.)
A
A
A

KUANTAN - Sekumpulan nelayan tradisional di perkampungan Sungai Ular mengakui terpaksa menunggu air pasang seawal jam 4 pagi untuk membawa bot melepasi sungai muara itu sejak setahun lalu.

Malah mereka juga mendakwa terpaksa mengikat bot di pesisir pantai pada waktu malam susulan tidak dapat membawa masuk bot ke jeti.

Paras air semakin cetek menyebabkan mereka tidak dapat berbuat apa-apa kecuali hanya mampu memendam rasa meskipun menempuh kesukaran mencari rezeki.

Air Sungai Ular yang cetek menyukarkan nelayan tradisional keluar ke laut.
Air Sungai Ular yang cetek menyukarkan nelayan tradisional keluar ke laut.

Nelayan, Mohd Tajul Ariffin Muda, 44, berkata, muara sungai menjadi terlalu cetek menyukarkan kerja mengeluarkan bot dari jeti ke kawasan laut.

Menurutnya, dia tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya saban hari perlu menunggu air pasang untuk keluar mencari rezeki.

"Bila semua pasir yang ditimbun di sini (muara sungai) ia memang bermasalah kepada kami. Hendak keluar pun tidak lepas.

"Jadi, kami perlu bersabar dan kena betul-betul tunggu air pasang baru boleh bergerak. Air pasang kena dua meter ke atas boleh lepas (keluar)," katanya ketika ditemui di jeti nelayan perkampungan Sungai Ular di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Tajul yang lebih 20 tahun menjadi nelayan berkata, dia pernah berdepan kerosakan bot sejak projek pasir dijalankan di situ.

Katanya, bot miliknya pernah bocor kerana terlanggar kesan tinggalan paip konkrit daripada aktiviti pengambilan pasir berhampiran muara sungai berkenaan.

"Macam-macam pengalaman, bot tersadai sebab bocor dan tersangkut kerana paras air terlalu cetek.

"Saya cuma fikir bagaimana nak selesaikan masalah ini kerana tidak lama lagi kita dah nak buka sekolah, bulan puasa dan banyak nak guna duit," katanya.

Mohamad Azam Zakaria, 62, pula berkata, masalah muara cetek kesan pengambilan pasir daripada pemain industri pasir di kawasan ini.

Dakwanya, mereka ini seolah-olah tidak bertanggungjawab apabila meninggal kesan daripada aktiviti itu dengan mengganggu aktiviti keluar masuk muara.

"Kami ini sudah la bercuti wajib ketika Monsun Timur Laut, bila hendak mula kerja kita (turun ke laut) masalah di muara pula cetek.

"Tidak lama lagi kita hendak sambut bulan puasa, lepas itu anak nak masuk sekolah, bila berlaku masalah ini aktiviti pencarian hasil laut terganggu," katanya.

Dalam pada itu, Zakaria Daud, 65, berkata, komuniti nelayan di situ juga terpaksa menanggung kerugian apabila peralatan menangkap ikan mereka rosak akibat masalah itu.

"Banyak masalah yang kami kena hadapi. Kadang-kadang jam 2 hingga 3 pagi kena tidur dengan bot di tengah laut sebab hendak balik tidak boleh.

"Kalau boleh gali atau buat muara di sini supaya memudahkan kami untuk keluar dan masuk ke jeti," katanya.

Nelayan terpaksa menunggu air pasang untuk ke laut.
Nelayan terpaksa menunggu air pasang untuk ke laut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, isu dihadapi warga nelayan di perkampungan Sungai Ular sudah berlarutan sejak sekian lama.

Menurutnya, sehingga kini masih belum menunjukkan sebarang jalan penyelesaian bersungguh-sungguh oleh pihak berkaitan.

Bagaimanapun, katanya masalah nelayan sudah diadukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang bagi tindakan selanjutnya.

"Saya difahamkan mereka (JPS) pun sudah turun ke sana melihat perkara itu dan mereka memberi komitmen untuk mencari jalan sekali gus menyelesaikan masalah terbabit, termasuk memohon peruntukan segera.

"Jadi, saya fikir JPS kena ambil perhatian masalah ini dan tidak membiarkan masalah itu ditanggung oleh nelayan," katanya.