Malaysia rugi RM4.5 juta setiap hari, 3 juta liter diesel diseludup

Armizan
Armizan
A
A
A

KOTA KINABALU - Negara mengalami kerugian sebanyak RM4.5 juta disebabkan ketirisan 3 juta liter diesel seludup ke luar negara setiap hari.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, jumlah itu diperoleh hasil daripada kajian yang diterbitkan di peringkat antarabangsa menerusi Majlis Perniagaan EU-Asean.

"Laporan itu menyebut bahawa 3 juta liter diesel diseludup keluar daripada Malaysia setiap hari dan sebanyak RM4.5 juta sehari kerugian.

"Walaupun tidak disebut dalam kajian yang dilakukan tetapi antara isu penyeludupan di Malaysia ini adalah melibatkan diesel RON95," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutupan Bengkel Penyelarasan Tanggungjawab Membanteras Ketirisan Barang kawalan Bersama Agensi Penguatkuasaan di Sabah, di sini pada Khamis.

Menurut Armizan, berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah Ops Tiris 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan pada 2023, sebanyak 15,927 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara merangkumi stesen minyak, pemborong, pengilang, kuari, pos kawalan dan lain-lain premis.

"Sejumlah 877 kes termasuk 386 kes serahan agensi telah dihasilkan dengan kuantiti rampasan sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel bernilai RM14.2 juta, manakala nilai rampasan selain diesel berjumlah RM42.1 juta.

"Seramai 554 warga tempatan, 112 warga asing dan dua penduduk tetap telah ditahan yang menjadikan jumlah keseluruhan 668 orang.

"Di Sabah, sebanyak 1,026 pemeriksaan telah dilaksanakan dengan sejumlah 32 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan sebanyak RM1.05 juta dalam tempoh Ops Tiris 1.0 dan 2.0 dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Armizan lagi, berdasarkan kejayaan positif yang telah ditunjukkan dalam pelaksanaan kedua-dua Ops Tiris itu menyebabkan penguatkuasaan diteruskan melalui OPS Tiris 3.0.

"Sepanjang penguatkuasaan Ops Tiris 3.0 bermula 1 Januari hingga 15 Februari lalu, sejumlah 3,257 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dan berjaya menghasilkan sebanyak 330 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM5.15 juta membabitkan rampasan minyak diesel sebanyak RM4.76 juta, petrol RON95 sebanyak RM90,611, gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM154,189, minyak masak sebanyak RM107,759 dan gula sebanyak RM35,737.

"Seramai 65 individu juga telah ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Manakala Negeri Sabah, sebanyak 221 pemeriksaan telah dilakukan dengan bilangan kes yang dihasilkan sebanyak 29 dan jumlah rampasan barang kawalan bernilai RM192,845," jelasnya.

Sehubungan itu, Armizan berkata, menerusi kejayaan itu beliau memberi amaran keras kepada penyeludup kerana tindakan untuk membendung ketirisan subsidi merupakan agenda kerajaan ketika ini.

"Ketirisan merupakan perkara besar yang selama ini telah merampas hak dan mengambil dana yang terhad yang sepatutnya dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.

"Sebab itu kita mahu di KPDN kita menyebarluaskan nilai yang ingin kita terapkan selain rahmah itu ialah nilai berkat kepada komuniti yang berniaga bahawa setiap keuntungan mereka itu perlu ada komponen hak orang lain dan memastikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti haram.

"Jadi kepada penyeludup dan mereka yang bersekongkol carilah rezeki yang lebih berkat daripada aktiviti yang mereka lakukan yang tidak sah, yang haram, yang merupakan satu sabotaj kepada ekonomi negara," tegasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28