RISDA peruntuk RM4.18 juta perkasa kempen GPPG

Jalaluddin (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima Anugerah Pekebun Kecil.
Jalaluddin (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima Anugerah Pekebun Kecil.
A
A
A

KUALA PILAH - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah memperuntukkan RM4.18 juta dalam memperkasakan Kempen Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) di peringkat Negeri Sembilan sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah berkata, ia bertujuan untuk menggalakkan peningkatan produktiviti getah di kalangan pekebun kecil terutamanya yang masih memiliki kebun getah tidak bertoreh.

"Peruntukan itu merangkumi inisiatif Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) sebanyak RM 1.3 juta, Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) RM 2.19 juta, Skim Insentif Lateks (SIL) RM195,000 dan Kemudahan Insfrastruktur Pemasaran (KIP) sebanyak RM 491,000.

"Mengikut rekod, sebanyak 30,826 hektar kawasan kebun getah di Negeri Sembilan yang tidak bertoreh daripada jumlah keluasan keseluruhan iaitu 65,257 hektar yang mewakili sebanyak 47 peratus," katanya pada program Gerakan GPPG dan Konvensyen GAP Matang Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Anjung Perpatih Universiti Teknologi Mara kampus Kuala Pilah di sini pada Selasa.

Turut hadir, Exco Kanan merangkap Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurut Ahmad Zainal, RISDA turut menyediakan sebanyak 21 unit Depo Pengumpulan Skrap dan 3 unit Depo Pengumpulan Lateks di Negeri Sembilan.

Ahmad Zainal (dua dari kiri) dan Jalaludin (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Pekebun Kecil.
Ahmad Zainal (dua dari kiri) dan Jalaludin (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Pekebun Kecil.

Jelasnya, ia bagi memudahkan pemasaran hasil getah pekebun kecil secara berkelompok yang mampu menjana pendapatan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, RISDA juga menerusi Program Keusahawanan menyediakan bantuan sehingga RM 20,000 kepada usahawan pekebun kecil dalam empat segmen perniagaan iaitu makanan, kraftangan, pembuatan dan pertanian bagi menyokong pendapatan selain daripada hasil getah mereka.

"Pekebun kecil termasuk ahli keluarga juga berpeluang memohon bantuan Program Agromakanan dengan nilai antara RM 20,000 hingga RM 300,000.

"Program ini melibatkan tanaman jangka pendek bersama tanaman getah atau terlibat dalam aktiviti ternakan secara individu atau berkumpulan," katanya.

Sementara itu, RISDA juga sedang giat melaksanakan Program Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 yang melibatkan hampir 600,000 responden di seluruh negara.

Ujarnya, program bancian berkenaan bertujuan untuk mengumpul maklumat mengenai pekebun kecil getah bagi perancangan pembangunan masa hadapan.

"Secara ringkasnya, pelbagai program dan bantuan yang dilaksanakan ini diyakini dapat membantu merealisasikan impian untuk mewujudkan masyarakat pekebun kecil yang sejahtera dan makmur.

"Bantuan-bantuan ini bertujuan untuk mencapai sasaran pendapatan purata keluarga pekebun kecil sebanyak RM 4,500 sebulan menjelang akhir tahun 2025," katanya.

Beliau berkata, inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan itu membuktikan komitmen RISDA dalam meningkatkan produktiviti getah dan mendukung kemakmuran masyarakat pekebun kecil.

Justeru itu ujarnya, RISDA menyeru pekebun kecil untuk bergiat aktif menyertai program-program dianjurkan bagi memacu pertumbuhan sektor industri getah.

Sementara itu pada majlis berkenaan, Jalaluddin telah menyampaikan Anugerah Pekebun Kecil kepada empat penerima.