20 PATI terjun longkang elak ditahan imigresen

Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan.
Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan.
A
A
A

MELAKA - Kira-kira 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup membahayakan diri dengan terjun ke longkang sedalam lima meter bagi mengelak dari ditangkap dalam Ops Sapu di Kota Laksamana di sini, pada awal pagi Khamis.

Daripada jumlah tersebut, seramai 11 warga asing berjaya dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka.

Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam operasi itu seramai 117 warga asing telah diperiksa dan hasil pemeriksaan telah menahan 90 orang warga asing disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa di negara ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warga Indonesia, 75 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Myanmar serta seorang lelaki warga Pakistan.

"Operasi penguatkuasaan ini berdasarkan kepada aduan yang diterima berkaitan lambakan warga asing yang bekerja di tapak pembinaan sekitar Taman Kota Laksamana.

"Ada yang berjaya ditahan dan ada yang berjaya meloloskan diri memandangkan keadaan persekitaran yang gelap dan membahayakan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tambahnya, satu saman kepada saksi telah dikeluarkan kepada pegawai keselamatan di premis tersebut dan majikan pekerja asing berkenaan juga akan dikesan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Ujarnya, mereka yang ditahan disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)/Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Artikel Berkaitan:

"Ops seperti ini akan dilaksanakan secara berterusan di lokasi-lokasi 'panas' yang menjadi tumpuan warga asing," katanya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28