Sikap pekerja kedai makan kurang mesra dibimbangi jejas TMK 2024

Mohamed Fadzli luah sikap pekerja kedai makan yang dilihat kurang mesra pelanggan dibimbangi boleh jejaskan imej negeri ini.
Mohamed Fadzli luah sikap pekerja kedai makan yang dilihat kurang mesra pelanggan dibimbangi boleh jejaskan imej negeri ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan meluahkan sikap pekerja kedai makan yang dilihat kurang mesra pelanggan dibimbangi boleh menjejaskan imej negeri ini.

Beliau berkata, sekarang ini sedang berlangsung Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 bertemakan kepada 'food, family and festival'.

"Pagi semalam (Rabu) kami telah singgah di sebuah restoran yang agak terkenal satu masa dulu di Kota Bharu, selepas dimaklumkan penerbangan ke Kuala Lumpur tertangguh satu jam setengah sehingga terlepas mesyuarat penting," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Menurut beliau, ekoran itu mereka mengambil keputusan pulang semula ke Kota Bharu untuk makan pagi selepas tidak sempat berbuat demikian di rumah kerana bimbang terlepas penerbangan.

Ujarnya, masakan di restoran tersebut sedap walaupun premisnya biasa sahaja.

Mohamed Fadzli memberitahu, bagaimanapun beliau kecewa apabila tiada seorang pun daripada pekerja di restoran berkenaan yang murah dengan senyuman.

Apatah lagi katanya, peniaga di premis tersebut dilihat melayan pelanggan dengan sikap endah tak endah.

"Walaupun premis berkenaan mampu menjaga kualiti makanan tetapi mereka gagal menjaga hati pelanggan.

Artikel Berkaitan:

"Saya bimbang, sikap yang langsung tidak menggambarkan budaya sebenar rakyat Kelantan itu boleh mencemarkan nama baik negeri ini," katanya.

Mohamed Fadzli sehubungan itu menegaskan supaya seluruh peniaga menyambut kedatangan pelancong atau pelanggan dengan ramah mesra dan berbudi bahasa sempena TMK 2024.

"Pada masa sama, pastikan premis perniagaan sentiasa bersih, indah dan ceria.

"Biar kita sentiasa mengukir senyuman terutama yang berada di barisan hadapan.

"Sapalah dengan kelembutan budi dan amal perbuatan, biarlah nampak lemah lembut dan tersusun.

'Soal harga, pastikan kita berlumba-lumba nak menawarkan yang terbaik terutama kepada tetamu dari luar," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28