Najib terkejut audio didedah menjelang PRK Kimanis

Najib kelihatan keluar dari bilik Mahkamah Tinggi Jenayah 3 selepas memberi keterangan bagi prosiding membela diri terhadap pertuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd hari ini.
Najib kelihatan keluar dari bilik Mahkamah Tinggi Jenayah 3 selepas memberi keterangan bagi prosiding membela diri terhadap pertuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terkejut dengan pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika bahang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Sabah ketika ini.

Beliau berkata, ia tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan pihaknya sudah berbincang dengan peguam mengenai perkara tersebut.

“Saya belum semak. Saya terkejut dengan isu ini dan saya sedang mengkaji isi kandungannya,” katanya pada sidang akhbar selepas perbicaraan SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai rakaman audio mungkin melalui pintasan perbualan telefon, Najib berkata, beliau akan mengkaji isu itu dari sudut undang-undang.

Ini kerana katanya, ia didakwa berlaku ketika beliau bertugas sebagai penjawat awam dan ketua kerajaan.

Pagi tadi, SPRM membongkar audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan rakaman perbualan telefon tujuh individu termasuk bekas Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN:SPRM bongkar audio konspirasi jenayah libatkan Najib, Rosmah

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, rakaman berdurasi 45 minit itu diterima pihaknya beberapa hari lalu melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah berhubung skandal mega SRC International, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta beberapa kes lain.

Artikel Berkaitan:

Selain Najib, rakaman audio terhadap mengandungi percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Zulkifli Ahmad, Datin Rosmah Mansor dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan serta beberapa individu berkepentingan dalam dan luar negara.