Di sebalik ketegasan, Taib Mahmud minat bidang seni

Jenazah bekas Yang Dipertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi Rabu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 4.25 petang. Foto Bernama
Jenazah bekas Yang Dipertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi Rabu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 4.25 petang. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Di sebalik ketegasan dalam mentadbir negeri, ramai yang mungkin tidak tahu bahawa bekas Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud mempunyai minat dalam bidang seni.

Perkara itu didedahkan oleh Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Allahyarham selama 11 tahun, bermula 2000 hingga 2011.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, tidak dinafikan ramai menganggap Abdul Taib sebagai seorang yang garang dan tegas, namun sepanjang berkhidmat dengan Pehin Seri itu, Abdul Taib sangat menjaga pelakuan dan tidak pernah meninggikan suara terhadapnya.

"Sepanjang mengenalinya, saya tak nampak beliau banyak hobi. Aktiviti brisk walking (berjalan pantas), seni persembahan serta seni adalah minatnya. Kalau seniman agung P. Ramlee kita nak bandingkan siapa yang lebih mengetahui berkaitan P. Ramlee tu, saya percaya Pehin Serilah orangnya. Beliau tahu perihal (P. Ramlee) dari 'A to Z'.

"Selain daripada itu, Tun Pehin Seri juga amat prihatin terhadap alam sekitar. Beliau tidak suka pokok ditebang dan tidak mahu banyak bangunan tinggi kerana mahu menjaga khazanah-khazanah alam," katanya semasa diwawancara di Buletin Bernama di sini pada Rabu.

Mengimbau kembali, Abdul Karim yang juga memegang portfolio Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak berkata, beliau mengenali Allahyarham menerusi bapanya yang pernah berkhidmat bersama pemimpin utama Sarawak itu ketika awal karier politiknya.

"Hubungan saya dengan (mengenali) Pehin Seri bukan sekadar bermula ketika bertugas, tapi ia bermula dengan ayah saya. Ayah saya ialah setiausaha politik kepada Tun Pehin Seri semasa dia menjadi menteri di Persekutuan. Jadi saya amat mengenali beliau.

Menurut Abdul Karim, Abdul Taib telah menyerahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya untuk diambil alih beliau sejak 2011 hingga kini.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang masa itu, saya dapat melihat dan mengenali ketokohan wawasan Tun Pehin Seri sebagai seorang pemimpin bagaimana cintanya beliau kepada rakyat Sarawak dan harapannya mahu lihat pembangunan kepada negeri Sarawak serta mahu lihat kesatuan rakyat Sarawak bersatu padu. Semua itu telah diusahakan beliau semasa menjadi Ketua Menteri sehingga 2014," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Anak Borneo Semenanjung, Serit Anak Banyan berkata, Allahyarham telah meninggalkan legasi yang begitu besar kepada Sarawak kerana Abdul Taib menitikberatkan pembangunan pendidikan negeri.

"Daripada beliau (Abdul Taib) menjadi Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1981 sehingga Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 2014, banyak institusi pendidikan yang dibina di negeri Sarawak termasuklah Universiti Malaysia Sarawak, Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia dan banyak lagi,” katanya ketika menjadi tetamu di Bernama Radio.

Serit yang juga Pensyarah di Swinburne University of Technology Sarawak berkata, kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Taib telah banyak mengubah landskap kemajuan negeri itu.

"Kepimpinannya menerajui kerajaan negeri telah berjaya mengubah landskap negeri Sarawak terutamanya bidang pekerjaan, pembangunan modal insan, pembangunan infrastruktur, pendidikan dan sosioekonomi,” katanya.

Tambah beliau, generasi muda Sarawak perlu menggalas tanggungjawab besar menjaga legasi yang dimulakan oleh Abdul Taib.

"Saya harap anak muda dapat semangat patriotik yang disemai oleh Allahyarham demi menjaga pembangunan negeri Sarawak. Satu pesanan keramat daripada Allahyarham yang harus dijiwai oleh anak-anak muda ialah ‘kita jaga Sarawak baik-baik,” katanya.

Tun Abdul Taib, 87, meninggal dunia pada 4.40 pagi Rabu selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di sebuah hospital di ibu negara. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!