Kerajaan akan wujudkan RUU Mufti, Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti dan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) sebagai langkah memperkasa dan memelihara perundangan Islam di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, selain RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), terdapat undang-undang yang perlu dipinda termasuk Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

“Pemerkasaan perundangan syariah ini telah dilaksanakan dan ia berlaku begitu teratur dan sistematik serta kerajaan mempunyai keberanian untuk melaksanakan usaha untuk bertindak secara menyeluruh.

“Bukan sahaja RUU 355, kita juga akan membawa RUU lain iaitu RUU Mufti juga pindaan kepada RUU Akta 505 dan ada beberapa yang lain.

“Sekarang kita usahakan untuk menubuhkan JPSM yang sedang dalam perbincangan, ia dipengerusikan oleh saya melalui mandat yang diberikan menteri. Moga ia dapat dihasilkan,” katanya pada Rabu.

Pada 18 Februari lalu, sesi libat urus mengenai RUU 355 kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sesi libat urus tersebut yang dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telahpun berada di peringkat akhir.

Mengulas lanjut, menurut Zulkifli, sesi libat urus mengenai RUU 355 masih diteruskan perbincangannya.

Artikel Berkaitan:

“Berkenaan dengan RUU355, perbincangan itu diteruskan malah di bawah pengetahuan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan juga Majlis Raja-Raja,” katanya.