Pihak rentas parti perlu beri pandangan pindaan Akta 355

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas berharap kerajaan membuka ruang kepada semua pihak rentas parti untuk bersama-sama memberi pandangan dalam pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu untuk memastikan hasrat mempertingkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dapat direalisasikan.

“Pas mengalu-alukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kerajaan akan membawa Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Parlimen pada tahun ini.

"Pas berharap semua pihak berkepentingan yang bersifat rentas parti dijemput untuk turut sama-sama memberi buah fikiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan sesi libat urus mengenai RUU 355 kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sesi libat urus tersebut yang dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah berada di peringkat akhir.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin, berkata, pihaknya sedia memberi sokongan penuh terhadap inisiatif dijalankan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bercadang meminda perlembagaan itu bagi mengatasi kekaburan rakyat.

Ujarnya, perdebatan yang berlaku dalam masyarakat terutamanya dalam kalangan orang Islam berkaitan kedudukan serta masa depan undang-undang syariah menuntut penyelesaian segera.

Artikel Berkaitan:

"Polemik yang timbul juga memerlukan keputusan yang efektif bagi menghindari kesan buruk yang lebih besar.

"Sebagai sebuah masyarakat Islam yang menerima syariah bukan sahaja sebagai suatu tanggungjawab tetapi juga hak agama, Pas percaya semua langkah ke arah memartabatkan undang-undang syariah mesti diambil dan diberi dukungan penuh tanpa mengira pihak, parti atau kumpulan," ujarnya.

Jelas beliau, ia termasuklah usaha jawatankuasa khas mengkaji isu berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Persekutuan jika perlu untuk mengatasi permasalahan yang timbul.

Tambahnya, perkara tersebut juga untuk memastikan kuasa badan perundangan negeri bagi menggubal undang-undang syariah termaktub secara jelas tanpa kekaburan.

"Bukan rahsia lagi polemik ini berpunca daripada beberapa keputusan dan alasan penghakiman mahkamah yang menyaksikan undang-undang syariah negeri-negeri bukan sahaja tercabar malah terbatal sekali gus terdedah kepada kemungkinan pembatalan lain pada masa akan datang.

"Dalam hal ini, Pas yakin Raja-Raja Melayu sebagai ketua negara, negeri-negeri yang memikul peranan sejarah yang utama sebagai obor serta payung agama, budaya, keunggulan nilai dan susila serta perpaduan dan kerukunan umat akan terus mendapat sokongan dan dukungan daripada rakyat jelata terutama umat Islam," katanya.

Ujar beliau, Pas akan terus komited pada saranan al-Quran supaya bekerjasama, bertolong-tolongan (ta’awun) dalam perkara yang membawa kepada kebaikan dan taqwa dalam semua usaha ke arah menzahirkan sebuah negara yang makmur serta mendapat keampunan Tuhan.