[VIDEO] Perginya Bapa Pembangunan, Pemodenan Sarawak

A
A
A

JAKARTA - Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud bukan sahaja layak diangkat sebagai Bapa Pembangunan tetapi Bapa Pemodenan Sarawak.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, ia berdasarkan keunikan, sumbangan, jasa dan penglibatannya dalam bidang politik melalui pelbagai platform, kementerian serta kedudukannya kepada bumi Kenyalang itu.

Malah katanya, Abdul Taib menjadi satu-satunya nama yang berada dalam fikiran rakyat Sarawak selama lebih 60 tahun.

"Rekod ini saya yakin, sukar dipecahkan oleh mana-mana pemimpin politik selepas ini. Beliau berada dalam era politik dan Kabinet pertama Sarawak sejak 1963.

"Kemudian berada di peringkat Persekutuan selama 13 tahun dan menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

"Dalam tempoh 60 tahun itu, kita tak dapat bayangkan kesan daripada dasar pemikiran strategi politik beliau, khususnya untuk Sarawak di bawah gagasan politik pembangunan dan realiti baharu yang berpaksikan kepada prinsip perubahan, peluang, mobiliti dan kesaksamaan," katanya ketika ditemui media di sini, pada Rabu.

Jeniri Amir
Jeniri Amir

Jelas Jeniri, berpaksikan hakikat berkenaan, tumpuan negarawan itu adalah untuk menstabilkan politik Sarawak, yang kemudiannya memberikan sumbangan besar kepada kestabilan politik negara.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Abdul Taib dilihat berjaya menyatukan sekitar 27 suku kaum di Sarawak.

"Beliau fokus kepada politik pembangunan dan realiti baharu, dengan banyak melakukan transformasi kepada Sarawak dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, kewangan, pendidikan, sosial, pertanian dan perindustrian.

"Beliau berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada sekitar 70 peratus kepada lebih 20 peratus sahaja.

"Satu daripada legasi beliau ialah beliau dapat menstabilkan politik Sarawak walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan krisis, khususnya Peristiwa Ming Court pada 1987.

"Itu merupakan titik tolak kepada daya kepimpinan dan dasar beliau untuk menumpukan kepada politik pembangunan.

"Keduanya, legasi beliau yang berjaya melahirkan banyak pemimpin Sarawak yang berkaliber," jelasnya.

Ujar Jeniri, Abdul Taib juga mewujudkan Dewan Suarah, iaitu dewan yang menjadi tempat semua rakyat berhimpun sebagai aktiviti dan akhirnya dapat menyatupadukan mereka.

Selain itu, beliau juga dapat meningkatkan hasil pendapatan Sarawak, sebagaimana dapat dicerminkan melalui bajet terakhirnya iaitu sekitar RM5 bilion dan meninggalkan sekitar RM30 bilion rezab Sarawak.

Ia sekali gus dapat mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak.

"Monumen-monumen, bangunan, jalan raya dan jambatan serta perubahan yang dapat disaksikan rakyat Sarawak hari ini adalah berkat kepimpinan, strategi, pragmatik dan futuristik beliau," jelasnya.

Abdul Taib, 87, dilaporkan meninggal dunia sekitar jam 4.28 pagi Rabu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Berita duka pemergiannya disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof.

Sebelum ini, Abdul Taib merupakan satu-satunya figura politik era penubuhan Malaysia yang masih hidup dan pernah berada dalam Kabinet Sarawak yang ditubuhkan pada 22 Julai 1963.