'Kita, rakyat Sarawak kehilangan seorang sosok negarawan dihormati' - PM

Foto Facebook Anwar Ibrahim
Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Madani menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook turut mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Sarawak di atas kehilangan itu.

Anwar berkata, jasa dan bakti Allahyarham kepada negara dan negeri Sarawak akan sentiasa dikenang buat selamanya.

"Berdukacita atas pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud awal pagi tadi.

"Sesungguhnya kita, terutama rakyat negeri Sarawak kehilangan seorang sosok negarawan yang dihormati," katanya.

Abdul Taib dilapor menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.40 pagi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

Difahamkan jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak untuk penghormatan terakhir.

Jenazah kemudiannya akan disembahyangkan di Masjid Demak sebelum disemadikan di sebelah pusara isteri pertamanya, Toh Puan Laila Taib di kediaman peribadinya di Demak Jaya.

Artikel Berkaitan:

Pada 10 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Abdul Taib diterbangkan ke Kuala Lumpur untuk menerima rawatan di sebuah hospital di ibu negara.

Ia susulan timbul dakwaan, ahli politik berpengaruh itu dilarikan isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dari Pusat Perubatan Pakar Normah Sarawak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!