Afrika Selatan anggap Malaysia sekutu penting dalam perjuangkan hak Palestin

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

PETALING JAYA - Afrika Selatan menganggap Malaysia sebagai sekutu penting dalam memperjuangkan hak Palestin dan menentukan nasib sendiri, menurut Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, David E Malcomson.

"Sejak Malaysia menyokong perjuangan pembebasan kami (Afrika Selatan), apabila kami mencapai kemerdekaan, kami faham bahawa Malaysia akan sentiasa bersama dalam isu Palestin.

"Dan itu telah dilakukan sepanjang dekad sejak itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perbincangan Meja Bulat mengenai Inisiatif Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Afrika Selatan dan Implikasinya terhadap Tel Aviv di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia di sini pada Selasa.

Ditanya sama ada beliau berharap Malaysia akan terus konsisten menyokong Afrika Selatan, beliau menjawab: "Saya tahu Malaysia akan konsisten dalam isu ini, saya tidak perlu berharap."

Sebelum ini, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berada di Hague, Belanda untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Palestin.

Mohamad dijadual menyampaikan kenyataan lisan Malaysia di Peace Palace di The Hague pada 22 Februari kira-kira jam 5.10 petang waktu tempatan (kira-kira jam 12.10 tengah malam 23 Februari waktu Malaysia).

"Malaysia menyertai prosedur Pendapat Nasihat bagi membantu ICJ meneliti persoalan-persoalan perundangan yang dikemukakan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA)," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad berkata, permohonan untuk Pendapat Penasihat itu terhasil daripada Resolusi 77/247 UNGA yang diterima pakai pada 30 Disember 2022, dengan Malaysia telah menyokong dan menaja bersama resolusi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pendapat Penasihat merupakan prosedur berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel yang difailkan di ICJ pada 29 Disember 2023, katanya.

Israel menggempur Semenanjung Gaza sejak 7 Okt dan mengakibatkan hampir 29,000 penduduk terbunuh serta kemusnahan besar-besaran termasuk kekurangan barang keperluan hingga membawa kepada krisis kemanusiaan di Gaza. - Bernama