[VIDEO] Delegasi MP Malaysia lawat Mesir pamer sokongan isu Palestin

A
A
A

PUTRAJAYA - Satu delegasi lima Ahli Parlimen Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin sedang dalam lawatan khas ke Mesir dari 21 hingga 24 Februari untuk mempamerkan sokongan penuh Malaysia terhadap isu Palestin.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, delegasi itu termasuk Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang/PKR), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik/Pas), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan/UMNO) dan Senator Datuk Dr Mohd Hattta Md Ramli (Amanah).

Menurut Wisma Putra, delegasi itu akan membuat lawatan ke lintasan Rafah-Gaza, di mana bekalan kecemasan dan bantuan kemanusiaan dari Malaysia disalurkan ke Gaza

"Penyelarasan ini dilakukan dengan kerjasama rapat bersama kerajaan Mesir dan Ops Ihsan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, antara program lain termasuk kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Luar Mesir, Hamdi Loza; pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), Dr Rami Al Nazer dan lawatan ke hospital seliaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).

Lebih separuh daripada penduduk Gaza mencari perlindungan di perkhemahan sementara yang luas berhampiran sempadan Mesir. Foto AFP
Lebih separuh daripada penduduk Gaza mencari perlindungan di perkhemahan sementara yang luas berhampiran sempadan Mesir. Foto AFP

"Intipati perbincangan adalah mengenai kerjasama Malaysia untuk membantu rakyat Palestin di Gaza termasuk yang memerlukan rawatan perubatan di Mesir,” katanya.

Kementerian itu berkata, satu acara simbolik penyerahan sumbangan rakyat Malaysia akan diberikan kepada ERC dan PRCS dengan masing-masing berjumlah AS$250,000 (RM1.2 juta) dan AS$500,000 (RM2.4 juta).

Artikel Berkaitan:

Wisma Putra berkata, sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai RM5.6 juta (AS$1.2 juta) telah tiba di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir pada November dan Disember tahun lepas.

Barangan yang dihantar merangkumi ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan dan bekalan musim sejuk seperti selimut, khemah dan pakaian.

Menurut Wisma Putra, bantuan kemanusiaan itu berjaya dilaksanakan dengan sumbangan orang ramai, agensi dan syarikat Malaysia kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP). - Bernama