[VIDEO] Tak perlu bincang, kaji Perkara 153 - Anwar

A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan kukuh mempertahankan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

Malah beliau menjelaskan, kerajaan tidak perlu menyemak Perkara 153 yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

"Kita pertahankan kedudukan Perlembagaan termasuk (Perkara) 153. Tak perlu bincang, dah ada dalam Perlembagaan," katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) ke-15, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dilapor menggesa Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) meneliti sekiranya kedudukan istimewa bumiputera yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar memberi manfaat kepada golongan itu.

Anwar (lima dari kiri) bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah (empat dari kiri) dan Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (tiga dari kanan) bersama deligasi ICIEF di Sasana Kijang, Bank Negara pada Selasa.
Anwar (lima dari kiri) bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah (empat dari kiri) dan Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (tiga dari kanan) bersama deligasi ICIEF di Sasana Kijang, Bank Negara pada Selasa.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya dasar afirmatif telah 'dirampas dan dimanipulasi' segelintir golongan elit bumiputera.

Perkara 153 (1) memperuntukkan menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Perkara 153 antaranya mencakupi jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu negeri), biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain, permit dan lesen yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Anwar berucap semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) ke-15, pada Selasa. Foto Bernama
Anwar berucap semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) ke-15, pada Selasa. Foto Bernama

Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapan perasmian menyeru pengamal industri dan pembuat dasar meluaskan idea bagi memajukan ekonomi dan kewangan Islam termasuk untuk negara Islam dan bukan Islam.

Justeru beliau berkata, ICIEF akan memberi fokus terhadap langkah membangunkan ekonomi kewangan Islam untuk lebih mampan dan manusiawi.

“Ahli akademik harus meningkatkan sempadan pengetahuan, selaras dengan teori serta etika ekonomi Islam dan membangunkan aplikasi praktikal yang sejajar dengan prinsip teras Madani.

“Institusi kewangan mesti menyepadukan prinsip ini ke dalam struktur teras dan proses membuat keputusan bagi memastikan produk mereka saksama dan boleh diakses.

“Badan kawal selia mesti mewujudkan rangka kerja yang mewujudkan inovasi, insentif dan mengukuhkan etika dan bukan pematuhan undang-undang semata-mata,” katanya.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa menghimpunkan hampir 500 peserta, antaranya daripada Pakistan, United Kingdom, Arab Saudi, Turkiye, Indonesia, Amerika Syarikat, Nigeria, Norway, Germany dan India.