Perkelahan bertukar tragedi, suami hanyut ditarik ombak

SSeramai 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Terengganu mencari mangsa dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk pada Ahad.
SSeramai 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Terengganu mencari mangsa dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kegembiraan empat sekeluarga berkelah di Pantai Batu Buruk dekat sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas kira-kira jam 11.20 pagi Ahad.

Isteri mangsa, Nora Elina Abdul Khalit, 44, berkata, suaminya Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, dihanyutkan ombak ketika bersiar-siar di tepi pantai.

Menurutnya, beliau bersama suami serta dua anak perempuannya yang berusia sembilan dan 11 tahun tiba di Kuala Terengganu pada Jumaat lalu untuk bercuti.

"Kami mengambil kesempatan meluangkan masa berkelah di tepi Pantai Batu Buruk pagi tadi sebelum pulang ke Kuala Lumpur tengah hari esok.

"Tetapi ketika saya asyik bermain pasir bersama anak-anak, saya mendapati suami sudah tiada di kawasan sekitar pantai berkenaan.

"Tiba-tiba saya lihat kelibat suami di dalam air dan terus lempar pelampung serta berenang untuk menyelamatkannya, namun keadaan ombak dan arus terlalu kuat menyebabkan terpaksa berpatah balik dan dapatkan bantuan daripada pihak hotel," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Nora berkata, dia tidak menyangka percutian mereka sekeluarga berakhir dengan kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat sedih atas kejadian ini dan masih berharap suami selamat dan dapat pulang ke pangkuan keluarga," katanya dengan nada sebak.

Sementara itu, komanden operasi, Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.31 pagi tadi daripada pihak hotel berhubung kejadian tersebut.

Katanya, seramai 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan kekuatan lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dilejarkan ke lokasi kejadian pada jam 11.32 pagi.

Yusmizan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa berdepan kesukaran disebabkan keadaan ombak tinggi dan arus deras.

"Usaha pencarian menggunakan teknik surface searching pagi tadi gagal menemukan mangsa.

"Jadi kita akan teruskan pencarian di sekitar 20 meter dari pantai," jelasnya

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai terutama pengunjung supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti di air berikutan musim tengkujuh belum berakhir.

Beliau berkata, orang ramai juga digesa supaya peka dengan arahan papan tanda yang memaparkan amaran dilarang mandi atau sebagainya di sesebuah lokasi.