Maklumat awam buru baki 28 PATI lolos tahanan

Saifuddin Nasution Ismail (kanan) melihat keadaan kawasan perumahan kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika lawatan kerja Menteri ke Briged Tengah PGA Cheras pada Jumaat. Foto: Bernama
Saifuddin Nasution Ismail (kanan) melihat keadaan kawasan perumahan kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika lawatan kerja Menteri ke Briged Tengah PGA Cheras pada Jumaat. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa menggunakan mod pencarian berdasarkan kaedah menerima maklumat awam selepas sekatan jalan raya dihentikan bagi mencari baki 28 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Perak pada 1 Februari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 131 PATI telah lolos dalam kejadian itu.

Menurutnya, setakat ini seramai 101 telah ditahan, manakala dua dilapor maut dalam kemalangan jalan raya.

"Dari segi operasi sekatan jalan dan radius pencarian telah dihentikan.

"Pencarian dibuat berdasarkan maklumat orang awam, contoh bila jumpa mereka ini pergi ke masjid atau surau, orang kampung akan maklum pada kita (pihak berkuasa)," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan di kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di sini pada Jumaat.

Turut hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta Pengarah Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, depot Imigresen yang asalnya ialah pusat bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sudah tentu ada kekurangan.

Jelasnya, PATI yang ditahan telah ditempatkan di lokasi lain dan keputusan sedang dibuat dalam masa terdekat sama ada depot itu masih boleh dijadikan tempat tahanan atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan juga masih dijalankan untuk siasat siapa dalang utama," ujarnya.

Dalam kejadian 1 Februari itu, seramai 131 tahanan dilaporkan bolos dari blok lelaki depoh berkenaan, termasuk seorang yang kemudian maut akibat kemalangan jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya dan 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Usaha mencari tahanan yang lolos sedang giat dijalankan termasuk melalui bantuan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta JSJ Bukit Aman dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Dalam perkembangan lain, kata Saifuddin, isu semakan gaji anggota polis sedang dalam proses semakan di bawah jawatan kuasa semakan gaji.

"Elemen semakan gaji ada dalam perbincangan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)," ujarnya.