Jenayah komersial catat peningkatan ketara

Ramli ketika sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman pada Jumaat.
Ramli ketika sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kerugian melibatkan kes jenayah komersial bagi minggu keenam tahun ini mencatatkan nilai kerugian lebih RM558.6 juta berbanding lebih RM181.6 juta minggu sama pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, peningkatan turut direkodkan dari segi jumlah kes bagi tempoh sama.

Beliau berkata, menjangkau ke minggu keenam tahun 2024 iaitu sehingga 11 Februari, sejumlah 4,741 kes jenayah komersial telah direkodkan melibatkan nilai kerugian RM558,668,375.22.

"Jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 3,530 kes dan nilai kerugian RM181,610,712.86.

"Kadar kes bagi tahun 2024 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 34.3 peratus manakala nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan yang cukup besar dengan 207.6 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar JSJK Bukit Aman pada Jumaat.

Menurutnya, perubahan senario jenayah komersial ini menuntut ketekunan dan kesungguhan warga JSJK untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik khususnya dari aspek siasatan dan pembanterasan.

"Hasilnya, sepanjang 1 Januari hingga 11 Februari 2024, sejumlah 2,065 kertas siasatan telah berjaya dituduh bersamaan 49 peratus daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah ini juga adalah lebih tinggi berbanding jumlah yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu iaitu 1,736 kertas siasatan yang dituduh," katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, trend peningkatan kes dan nilai kerugian yang direkodkan merupakan satu cabaran kepada JSJK sendiri.

"Usaha perlu dilipat ganda untuk membanteras kegiatan jenayah komersil habis-habisan.

"Selain itu, penglibatan setiap lapisan masyarakat amat penting untuk memainkan peranan masing-masing khususnya dalam usaha pencegahan jenayah ini," katanya.

Dalam pada itu, Ramli turut mengingatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana taktik penipuan di media sosial.

"Sebelum lapor berkaitan mana-mana kes penipuan terutamanya di media sosial, saya mahu ingatkan agar masyarakat supaya lebih berhati-hati.

"Sudah beberapa kali pihak polis menasihatkan masyarakat, harusnya kepekaan dan kesedaran ditingkatkan," katanya.

Jelas beliau, kemajuan teknologi masa kini banyak memberi manfaat,namun kemudahan sering kali disalah guna penjenayah bagi mencari mangsa.

"Kecaknaan terhadap isu semasa yang berlaku terutamanya melibatkan jenayah penipuan yang mengambil kesempatan terhadap perkembangan teknologi semasa.

"Terutamanya taktik penipuan menerusi panggilan telefon atau pautan dalam talian dari mana-mana pihak, kepekaan dan langkah berjaga-jaga itu perlu dititik berat setiap masa," katanya.