Kes Nik Elin: Polis ingatkan jangan lakukan provokasi berlebihan

Razarudin (kanan) ketika sidang media pada Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak KDNKA 2024 di Padang Kawad Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta pada Rabu. Foto Bernama
Razarudin (kanan) ketika sidang media pada Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak KDNKA 2024 di Padang Kawad Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Polis mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan provokasi melampau terutama di media sosial dalam kes membabitkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Negara, Tan Sri ini Razarudin Husain berkata, tindakan seumpama itu dikhuatiri menimbulkan situasi tidak aman lebih-lebih lagi apabila turut menyentuh aspek agama, bangsa dan institusi diraja (3R)

"Perkara (provokasi) ini menggugat ketenteraman awam, membawa ke arah untuk orang percaya sekali gus mempertikaikan keputusan dibuat mahkamah.

"Dalam kes melibatkan 3R, saya sudah beritahu dari dulu lagi agar jangan sentuh isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa kerana kita akan lakukan siasatan dan tindakan. Selama ini, memang itu yang kita lakukan," katanya.

Razarudin (dua, kanan) menyampaikan sijil penghargaan dan penyertaan kepada wakil peserta pada Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak KDNKA 2024 di Padang Kawad Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, pada Rabu. Foto Bernama
Razarudin (dua, kanan) menyampaikan sijil penghargaan dan penyertaan kepada wakil peserta pada Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak KDNKA 2024 di Padang Kawad Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, pada Rabu. Foto Bernama

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim.

Razarudin berkata, setakat ini, polis sudah menerima tiga laporan daripada Nik Elin Zurina yang memaklumkan menerima beberapa ugutan bunuh di media sosial susulan tindakannya itu.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya percaya, lebih banyak laporan polis akan diterima dalam masa terdekat ini berhubung isu sama.

"Daripada tiga kertas siasatan itu, satu daripadanya telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

"Dua lagi masih dalam siasatan dan saya dimaklumkan, polis telah mengenal pasti siapa yang terlibat dalam menghantar ugutan tersebut," katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.