'Penafsiran undang-undang ‘diternak’ punca undang-undang syariah, sivil bertembung'

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Penafsiran undang-undang yang berbeza menyebabkan undang-undang syariah dan sivil bertembung sehingga dicabar di mahkamah bagi membatalkan enakmen jenayah syariah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berlaku pada masa kini disebabkan penafsiran yang berbeza itu ‘diternak’ oleh pihak tertentu.

Menurutnya, pertembungan tersebut memberi kesan kepada semua negeri mengikut enakmen kanun jenayah syariah negeri masing-masing.

“Undang-undang sama sahaja, dulu pun ada mahkamah syariah dan mahkamah sivil atau common law dan undang-undang syariah.

“Kenapa dulu tak bertembung, boleh selari dan masing-masing saling melengkapi. Sebabnya penafsiran kepada undang-undang oleh hakim-hakim berbeza sedangkan undang-undang tetap sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan ganjaran kepada pemenang pingat Sukan Komanwel 2022 Birmingham dan Sukan SEA 2023 Cambodia di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Sanusi berkata, penafsiran undang-undang tersebut ‘diternak’ untuk mengubah penafsiran sebelum ini supaya mengubah kedudukan dua undang-undang berkenaan.

“Ada usaha berterusan sejak dulu sampai sekarang supaya penafsiran ini dapat berubah. Penafsiran ini diternak, bukan jadi sendiri sehingga hasil daripada usaha itu membesar dan memegang jawatan penting dalam negara.

Artikel Berkaitan:

“Maka penafsiran itu mengambil tempat dan menjalankan fungsi seperti berlaku sekarang. Tengoklah latar belakang mereka, kita tahu kecenderungan mereka, arah tuju negara ini sedang ke mana,” katanya.

Menurutnya, usaha tersebut telah lama berlaku sejak puluhan tahun menyebabkan sistem perundangan negara semakin hari semakin berubah.

“Mereka dilatih dengan sempurna dalam sistem perundangan Islam, ada pusat latihan perundangan Islam, semua itu berkembang dan mereka pun berkembang juga. Ternakan itu menghasilkan benih baru,” katanya sinis.

Sanusi memaklumkan, Kedah menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan penasihat undang-undang dan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk melihat keperluan tindakan bagi menghadapi situasi tersebut.

“Untuk Kedah, tujuh seksyen dalam enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah menyamai 16 seksyen yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Bila seksyen kita sama dengan yang dibatalkan, pendakwa raya pun tidak akan caj orang bawah seksyen tersebut. Pembatalan undang-undang yang sama untuk mencabar pendakwaan itu beri kesan kepada semua negeri, sejauh mana negeri itu menyamai undang-undang yang dibatalkan,” jelasnya.

Sanusi tegaskan, penubuhan jawatankuasa khas juga antara usaha kerajaan negeri mengukuhkan undang-undang syariah di negeri ini.

“Kita tengok di mana ruang yang boleh kita ambil segera untuk undang-undang syariah didaulatkan, tidak lagi perlu tunduk kepada undang-undang sivil kerana ia saling melengkapi, bukan saling bersaing,” jelasnya.