Muhyiddin perlu tunjuk tauladan yang baik - Muda Kelantan

Abdul Rahman. Kenyataan Muda Kelantan.
Abdul Rahman. Kenyataan Muda Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Kelantan, Abdul Rahman Khairuddin menggesa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan tauladan dengan tidak menimbulkan sangkaan tidak baik susulan pembatalan 16 Enakmen Syariah Kelantan pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, sebagai bekas pemimpin nombor satu negara, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu perlu menerapkan nilai-nilai politik matang berbanding menyebarkan propaganda jahat.

"Kami amat kecewa dengan kenyataan yang dibuat beliau menerusi satu hantaran di Facebook pada 9 Februari lalu yang berbunyi “Dengan keputusan ini, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan.

"Sejujurnya, apa yang berlaku ini sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan perkara berikut iaitu rakyat Kelantan kini bebas melakukan maksiat dan runtuhnya institusi kehakiman Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu turut mencerminkan tokoh politik tersebut seolah-olah tidak memahami undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, Muda Kelantan mengingatkan semua bahawa dengan terbatalnya 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 itu tidak akan memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk melakukan perbuatan terkutuk.

Abdul Rahman memberitahu, berdasarkan Kanun Keseksaan yang termaktub di bawah Mahkamah Persekutuan itu adalah lebih berat dan lebih besar impaknya.

"Contoh untuk kesalahan liwat, denda penjara maksimum 20 tahun berserta sebatan, manakala Enakmen Kelantan pula tidak lebih tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

"Terbatalnya 16 peruntukan enakmen tersebut adalah kerana pertindihan kuasa di antara peringkat negeri dan Persekutuan. Oleh itu, undang-undang negeri tersebut tidak boleh terpakai dan terbatal kerana ia adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan bidang kuasa negeri," katanya.

Menurut Abdul Rahman, walaupun beberapa peruntukan dalam Enakmen Kelantan tersebut sudah terbatal, namun keseluruhan institusi Mahkamah Syariah tetap utuh dan keadilan di dalamnya terjamin.

"Ini menandakan kestabilan dan kebolehpercayaan sistem kehakiman syariah di negeri Kelantan.

"Oleh itu, kami menyeru agar masyarakat kekal bertenang dan tidak terpengaruh oleh propaganda jahat yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Keputusan majoriti dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Selain Tengku Maimun, hakim lain yang menyokong ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Ia termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Sementara Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli menentang petisyen berkenaan.