Pesawat terhempas: Ujian cap jari sahkan identiti dua mayat mangsa

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membawa keluar mayat salah seorang daripada dua mangsa nahas pesawat ringan model BK160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi proses bedah siasat. Foto Bernama
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membawa keluar mayat salah seorang daripada dua mangsa nahas pesawat ringan model BK160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi proses bedah siasat. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Identiti dua mangsa nahas pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, di sini pada Selasa telah dikenal pasti hasil ujian cap jari.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mangsa ialah juruterbang bernama Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dan Roshaan Singh Raina, 43.

"Bedah siasat telah dijalankan pada Rabu bermula jam 10 pagi di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

"Punca kematian adalah disebabkan pelbagai kecederaan akibat nahas pesawat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kedua-dua mayat mangsa akan diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian secepat mungkin.

Katanya, pihak polis juga akan membantu pihak keluarga untuk mengiringi jasad mangsa.

"Punca nahas pesawat masih dalam siasatan pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau menularkan gambar atau video bagi menghormati keluarga mangsa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan seramai dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Kampung Tok Muda, Klang.

Pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC), yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

Jasad mangsa ditemukan berada dalam kokpit pesawat pada kedalaman 1.52 meter dalam tanah.

Mangsa pertama dikeluarkan pada jam 7.06 malam disusuli mangsa kedua 11 minit kemudian.