Pesawat terhempas: Bedah siasat dijangka selesai petang ini

S Vijaya Rao (kanan) ditemui di Jabatan Forensik HTAR Klang pada Rabu.
S Vijaya Rao (kanan) ditemui di Jabatan Forensik HTAR Klang pada Rabu.
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Proses bedah siasat juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar pada Selasa dijangka selesai petang ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, proses bedah siasat termasuk proses mengambil cap jari sedang dijalankan Jabatan Forensik.

"Pengesahan semua kemudian, sekarang dalam proses 'post mortem' sedang jalankan, proses cap jari. Bila dah confirm 100 peratus, baharu saya boleh sahkan.

"Petang ini haraplah (bedah siasat selesai). Secepat yang mungkin, kita harap petang ini.

"Kita akan cuba sebaik mungkin. Saya sudah bincang dengan patologi untuk segerakan," katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini pada Rabu.

Terdahulu, waris mangsa berkumpul di tempat menunggu dalam kawasan Jabatan Forensik sementara menunggu proses pengecaman sebelum proses bedah siasat dijalankan.

Setakat jam 9 pagi pada Rabu waris kedua-dua mangsa terbabit dibenarkan memasuki bangunan berkenaan sebelum beberapa individu dilihat keluar semula dan kemudiannya beredar kira-kira jam 9.55 pagi.

Pada Selasa, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar dilaporkan berkata, mengikut 'manifest', mangsa terbabit adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 dan Roshaan Singh Raina, 42.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa yang difahamkan berasal dari Johor dan Pulau Pinang ditemui sekitar jam 2 petang di dalam kokpit.

Terdahulu, Hussein mengesahkan juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat ringan terkorban, dalam nahas berkenaan.

Beliau dipetik berkata, mayat kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 30-an dan 40-an ditemui dalam kokpit pesawat yang terjunam lebih dua meter ke dalam tanah.

Katanya, polis menerima maklumat pada jam 1.45 tengah hari pada Selasa berhubung kejadian itu dan mayat dijangka dapat dibawa keluar dalam tempoh tiga jam sebelum dihantar ke HTAR untuk bedah siasat.

JKM atur gerak pegawai beri sokongan psikologi kepada keluarga mangsa

Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan atur gerak pegawai bagi menyantuni dan memberikan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar, Klang pada Selasa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pegawai JKM telah bertindak segera untuk memberikan perkhidmatan sebaik sahaja mengetahui mengenai insiden berkenaan.

"Kebiasaannya (santuni waris) itu kita lakukan. Saya amat berterima kasih dengan semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terutama JKM yang sentiasa menyantuni mangsa (dan waris) serta cepat bertindak.

"Sama-sama kita hargai perkhidmatan diberikan. Terima kasih kepada JKM," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat media sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di KPWKM di sini pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, proses bedah siasat mangsa nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel dijangka selesai pada Rabu.

Mengikut manifest (senarai penumpang dan anak kapal) yang didaftarkan, mangsa yang terbunuh ialah juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 42.

Kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat di kawasan ladang kelapa sawit dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 1.45 tengah hari Selasa.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.