X

Kindly register in order to view this article
!

Petani rugi RM4.5 juta, benih padi lewat tiba

Keria melihat keadaan petak sawah padinya yang kering di Kampung Lubuk Reba, Pendang hari ini.
A
A

PENDANG - Kira-kira 2,000 petani di Pendang Selatan mengalami kerugian kira-kira RM4.5 juta apabila padi yang diusahakan mereka di 1,400 hektar sawah padi gagal mendapat bekalan air mencukupi.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan, Abdullah Mohamad berkata, kerugian didakwa berpunca daripada benih padi yang tiba lewat hampir sebulan selain musim kemarau yang bermula awal pada hujung Disember lalu.

Menurutnya, hanya kira-kira 300 hektar dapat diselamatkan kerana petani tersebut bermula awal dengan membeli sendiri bekalan padi dari pembekal luar.

"Kemarau awal yang bermula tahun ini menyaksikan tanah sawah menjadi kering sekali gus membantutkan pembesaran padi yang sedang membesar. Berbanding awal tahun lalu, musim kemarau masih belum tiba lagi pada bulan ini.

"Apabila kita membuat tinjauan, keadaan sawah memang kering sehingga boleh menyebabkan tiada hasil bagi musim ini.

Pada pandangan saya perkara ini juga disebabkan oleh penanaman lewat lebih sebulan disebabkan benih padi yang sampai lambat," katanya kepada Sinar Harian semasa meninjau sawah padi di Kampung Lubuk Reba bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob hari ini.

Abdullah (dua dari kiri) menerangkan keadaan pokok padi yang terbantut pembesarannya kepada Suraya (tengah) disebabkan keadaan sawah yang kering di Kampung Lubuk Reba, Pendang hari ini.
Abdullah (dua dari kiri) menerangkan keadaan pokok padi yang terbantut pembesarannya kepada Suraya (tengah) disebabkan keadaan sawah yang kering di Kampung Lubuk Reba, Pendang hari ini.

Abdullah berkata, beliau percaya sudah tiba masanya untuk kerajaan membina empangan di sekitar kawasan tersebut bagi memastikan bekalan air cukup untuk mengairi sawah padi pada setiap musim termasuk musim kemarau.

Seorang petani, Keria Saad, 56, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM23,000 bagi tiga hektar sawah padi yang diusahakannya.

"Saya berharap kerajaan dapat membantu kami dengan memberikan pampasan untuk mengusahakan tanaman padi bagi musim akan datang pada April ini.

"Musim kemarau ini, kami nak pam air dari sungaipun ke dalam sawah padi tidak dapat kerana air sungaipun sudah kering. Kami sudah tiada punca air untuk tanaman padi sekarang," katanya.

Petak sawah padi milik Keria bersebelahan sungai namun keadaan air sungai yang kering menyebabkan kegagalan untuk pam air ke petak sawah padinya.
Petak sawah padi milik Keria bersebelahan sungai namun keadaan air sungai yang kering menyebabkan kegagalan untuk pam air ke petak sawah padinya.

Sementara itu, Suraya ketika ditemui berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu melihat masalah ini secara mendalam dan jika bantuan air disalurkan ketika ini, ia dilihat tidak lagi dapat mengubah keadaan.

Menurutnya, bagi jangka masa pendek, pampasan dalam bentuk ganti rugi yang telah dibelanjakan pesawah perlu diberikan kepada semua petani terlibat bagi persediaan musim penanaman padi akan datang.

"Satu lagi perkara adalah pelan jangka masa panjang perlu difikirkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah seumpama ini apabila tiba musim kering. Kita tidak boleh tunggu masalah ini berlaku setiap tahun, baru hendak fikir atasi untuk jangka masa pendek," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus