Kor Ming enggan panjangkan isu iktiraf Kampung Baru Cina

Kor Ming dalam sidang akhbar pada Selasa.
Kor Ming dalam sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming enggan memanjangkan lagi isu cadangannya menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata, perkara itu dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak polemik dan salah tafsir oleh pelbagai pihak.

Justeru menurutnya, lebih baik isu berkenaan tidak terus dipanjangkan dan fokus kepada agenda lain yang lebih memberi faedah kepada rakyat.

"Saya tahu, sekali saya komen, satu perkataan (sahaja) jadi lari tajuk.

"Cerita itu pun sudah tutup, tidak ada isu pun sebenarnya jadi eloklah kita move on," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodland dekat Bandar Baru Tambun di sini pada Selasa.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Kor Ming (dua dari kanan) mendengar taklimat berhubung pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodland dekat Bandar Baru Tambun pada Selasa.
Kor Ming (dua dari kanan) mendengar taklimat berhubung pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodland dekat Bandar Baru Tambun pada Selasa.

Kor Ming sebelum ini mencadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Artikel Berkaitan:

Naib Pengerusi DAP itu memaklumkan, kerajaan Pusat dan kerajaan Selangor akan membincangkan perkara tersebut dengan lebih teliti membabitkan kampung yang diteroka sejak tahun 1948 itu.

Cadangan dikemukakan Ahli Parlimen Teluk Intan itu bagaimanapun mengundang kritikan pelbagai pihak terutama UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Media melaporkan UMNO menolak sekeras-kerasnya cadangan itu kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.