UMNO Selangor kekal tolak cadangan Kor Ming

Megat Zulkarnain
Megat Zulkarnain
A
A
A

HULU KELANG - UMNO Selangor kekal dengan pendirian parti untuk tidak bersetuju mengenai cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, walaupun berada di dalam kerajaan sama namun UMNO kekal menolak cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu.

Menurutnya, terdapat banyak kampung Melayu berusia ratusan tahun lebih layak dicadangkan bagi tujuan tersebut.

"Walaupun berada dalam sebuah kerajaan, UMNO sama sekali tidak setuju dengan cadangan tersebut.

"Kita faham beliau ada hak beri pandangan dan kita juga ada hak menyuarakan pandangan kita.

"Atas nama UMNO, kita tidak akan setuju cadangan tersebut kerana kampung Melayu tradisi sudah wujud beratus tahun berbanding kampung baru Cina," katanya ditanya mengenai pendirian UMNO Selangor berhubung cadangan tersebut.

Beliau ditemui pada Lawatan Turun Padang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang pada Isnin.

Program tersebut diadakan bagi mendengar isu rakyat atas kapasiti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor merangkap Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Artikel Berkaitan:

Program bermula jam 10 pagi hingga 7 malam itu dimulakan dengan lawatan ke Pangsapuri Bukit Baru disusuli perjumpaan bersama Pembantu Masyarakat (Kemas) di AU1A serta diteruskan program ziarah dan minum petang ketua UMNO cawangan.

Pada Jun tahun lepas, Kor Ming mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai

Tapak Warisan UNESCO.

Isu berkenaan mula mendapat perhatian baru-baru ini apabila ada pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) menolak cadangan tersebut.

Ia termasuk Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam (Nasionalis) mendesak kerajaan memecat Kor Ming kerana didakwa mencadangkan isu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum di negara ini.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu berpandangan tidak ada keperluan untuk mewujudkan Kampung Baru Cina sebagai satu tapak UNESCO.

Ujarnya, perkara itu bukan sesuatu yang mudah dan ia perlu perundingan Kabinet dan dibawa ke peringkat Parlimen untuk dibahaskan.

Sementara itu, Kor Ming mengajak pemimpin UMNO bertemu bagi berbincang dan menjelaskan fakta sebenar berhubung cadangannya itu.