'DAP jangan gores hati orang Melayu' - Ahmad Maslan

Ahmad
Ahmad
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Pimpinan utama parti dalam Kerajaan Perpaduan diminta lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan kerana dikhuatiri boleh menyinggung perasaan orang Melayu dan Bumiputera.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kenyataan berbaur perkauman yang dicetuskan pimpinan DAP amat berbahaya bukan sahaja kepada sensitiviti rakyat malah keharmonian masyarakat.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu turut mempersoalkan sama ada kenyataan kontroversi yang dikeluarkan beberapa pimpinan DAP itu sengaja dibuat bagi melihat dan mengukur reaksi orang Melayu dan Bumiputera.

"Sudah empat pimpinan DAP keluarkan kenyataan kontroversi, kenapa mereka tak faham-faham.

"Maka nak fahamkan mereka, saya akan berikan data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2023 membabitkan komposisi kaum negara ini iaitu Bumiputera sebanyak 70.1 peratus; Cina (22.6 peratus); India (6.6 peratus dan lain-lain (0.7 peratus).

"Jangan nak mengguris hati 70.1 peratus itu, ia amat bahaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua-ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Bangunan UMNO di sini, pada Sabtu.

Beberapa kenyataan kontroversi pimpinan DAP itu bermula dengan cadangan Lim Kit Sing berkenaan Perdana Menteri bukan Melayu; Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai (pilihan raya PBT); Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham (pakar bukan Islam dalam jawatankuasa Syariah) dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming (kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO).

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Pada Jun tahun lalu, Kor Ming juga dilaporkan mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap Kabinet tidak meluluskan cadangan dibuat Kor Ming berhubung perkara itu.

"Sentiasa berhati-hati apabila membuat pengumuman atau kenyataan yang babitkan hubungan antara kaum kerana kesannya amat besar.

"Ini kerana segala kenyataan yang mereka sebut itu hanya akan menghakis sokongan orang Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan dan UMNO selain dijadikan peluru pembangkang," katanya.