Bersatu bentuk skuad muda berkualiti

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Safirul
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Safirul
A
A
A

PELBAGAI pihak wajar menggembleng tenaga memainkan peranan untuk menyediakan skuad pelapis berkualiti bagi memastikan pasukan kebangsaan kekal berdaya saing di pentas Asia.

Penganalisis sukan, Safirul Azli Abu Bakar berkata, ia melibatkan kerjasama pemegang taruh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua kelab yang bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Beliau berkata, kejohanan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 di Qatar pada April depan menjadi pentas terbaik buat pemain muda menimba pengalaman berharga beraksi dalam saingan kompetitif di peringkat antarabangsa.

“Pendedahan di luar negara antara platform terbaik buat skuad muda meraih pengalaman berguna.

“Mereka juga wajar kerap dikumpulkan dan berlatih bersama untuk membentuk persefahaman serta penerapan taktikal permainan oleh jurulatih,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sukan Sinar pada Isnin melaporkan tonggak sayap Harimau Malaya, Faisal Halim melihat cabaran untuk mengekalkan prestasi skuad negara bukan mudah dan pemain muda perlu berusaha meningkatkan kualiti untuk beraksi pada tahap terbaik dalam pasukan kebangsaan.

Safirul yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) merasakan penting buat semua kelab mempunyai akademi yang diurus secara profesional.

Beliau berkata, akademi itu mampu menjadi ekosistem yang membekalkan pemain muda bermula usia 14 tahun untuk diserapkan ke dalam skuad remaja, pelapis dan seterusnya pasukan senior kelab.

Artikel Berkaitan:

“Menerusi akademi ini bakal wujud pengarah teknikal dan pencari bakat yang akan mencari pemain berpotensi untuk digilap kemahiran mereka.

“Jurulatih skuad utama juga akan kenal mereka (corak permainan pemain pelapis) yang berpeluang untuk diserap ke dalam skuad utama apabila mencecah usia 19 atau 20 tahun,” katanya.

Safirul menambah, para pemain muda juga wajar diberi peluang untuk beraksi bersama skuad utama bersaing dalam kancah Liga-M bagi mendapat minit permainan dan aksi kompetitif.

“Namun mungkin timbul dilema dalam kalangan jurulatih untuk mempertaruhkan tenaga muda ini kerana setiap pasukan sudah pasti mahu menang selain mereka juga mempunyai pemain senior dan import berkualiti yang berpeluang cerah untuk diturunkan.

“Apapun pengurusan pasukan dan jurulatih boleh mencuba (turunkan pemain muda) kerana ia mampu memberi manfaat besar buat kelab pada masa depan,” katanya.