Lelaki tiada lesen memandu, positif dadah cuba lari sekatan

Lelaki yang ditahan bersama kenderaan pacuan empat roda. - Foto Polis Kota Tinggi
Lelaki yang ditahan bersama kenderaan pacuan empat roda. - Foto Polis Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) Ops Selamat Tahun Baharu Cina 21/2024 di Kilometer (KM) 0.4 Jalan Kota Tinggi–Kluang berhampiran simpang Ladang REM di sini, pada petang Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, lelaki berusia 30 tahun yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna perak itu dilihat dalam keadaan mencurigakan apabila membuat pusingan U ketika menghampiri SJR tersebut.

Katanya, perbuatan suspek menyebabkan pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Tinggi bertindak menahan kenderaan pacuan empat roda berkenaan di persimpangan lampu isyarat ke Kulai di KM 32.7 Jalan Kota Tinggi–Kulai.

“Pihak polis tidak menemui sebarang kesalahan jenayah hasil pemeriksaan awal ke atas kenderaan dan lelaki tersebut (pemandu).

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki tersebut tidak memiliki sebarang lesen memandu dan saman dikeluarkan terhadapnya.

“Lelaki dan kenderaan pacuan empat roda berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod jenayah mendapati dia memiliki tiga rekod jenayah lampau melibatkan jenayah narkotik.

Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mendapati ia tidak mempunyai rekod jenayah.

Artikel Berkaitan:

Lelaki tersebut akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.