Kes rasuah kuota pekerja asing: Saravanan dibicara mulai Mac depan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menetapkan beberapa tarikh antara Mac hingga Ogos tahun depan bagi perbicaraan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM1.097 juta yang dikaitkan dengan kelulusan kuota pekerja asing.
Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus menetapkan 4 Mac, 12 April, 24 hingga 27 Mei, 17 hingga 19 Ogos serta 23 hingga 25 Ogos bagi perbicaraan itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh berkenaan.
Pasukan pembelaan Saravanan sebelum ini memaklumkan bahawa mereka mahukan tarikh perbicaraan paling awal yang boleh ditetapkan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan 31 halaman dokumen kepada pihak pembelaan pagi tadi dan perkara itu disahkan oleh peguam bela Datuk Geethan Ram Vincent.
"Pihak pendakwaan telah menyerahkan semua dokumen berkaitan selaras dengan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), sekali gus membolehkan pihak pembelaan memfailkan pernyataan pembelaan mengikut Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya sambil memaklumkan bahawa pihak pendakwaan bercadang memanggil 25 saksi.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Januari tahun depan sebagai tarikh pihak pembelaan memfailkan pernyataan pembelaan.
Pada 28 Ogos lepas, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM1.097 juta yang dikaitkan dengan kelulusan kuota pekerja asing.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa menerima wang tunai masing-masing berjumlah RM150,000 dan RM350,000 daripada pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38, di Bukit Jalil Golf & Country Resorts dan Jalan Telawi 3, Bangsar, pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.
Pemberian wang itu didakwa sebagai dorongan dan ganjaran kepada Saravanan, yang ketika itu Menteri Sumber Manusia untuk meluluskan permohonan kuota 1,000 pekerja asing oleh TYKB Engineering Sdn Bhd.
Bagi pertuduhan ketiga, Saravanan didakwa menerima wang berjumlah RM597,000 daripada individu sama melalui sekeping cek yang dimasukkan ke dalam akaun Big Seven Ventures Sdn Bhd bagi tujuan sama, di Maybank Islamic Berhad cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa pada 7 Julai 2022.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
