Curi kabel MRT: Seorang daripada lima penceroboh ditahan

SHAH ALAM - Seorang daripada lima individu yang disyaki menceroboh kawasan landasan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang untuk mencuri kabel berjaya ditahan berhampiran Stesen Mutiara Damansara pada Selasa.
Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, kejadian dikesan kira-kira jam 12.58 tengah malam selepas pusat kawalan operasi Laluan Kajang menerima maklumat daripada pasukan penyelenggaraan mengenai individu menceroboh dan berlari di kawasan landasan antara Stesen Mutiara Damansara dan Stesen Bandar Utama.
Susulan itu, pasukan Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan dan pencarian di sekitar kawasan berkenaan.
“Seorang suspek berjaya ditahan kira-kira jam 1.25 pagi di tepi jalan berhampiran Stesen Mutiara Damansara hasil tindakan pantas pasukan berkenaan.
"Pemeriksaan di kawasan landasan terlibat turut menemukan sejumlah kabel yang telah dipotong dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri kabel," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, suspek kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan dan siasatan lanjut.
Kejadian berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan operasi tren Laluan Kajang dan perkhidmatan berjalan seperti biasa.
“Rapid KL memandang serius sebarang cubaan mencuri kabel dan pencerobohan di kawasan landasan kerana perbuatan itu bukan sahaja mengancam keselamatan individu terlibat, malah berpotensi merosakkan infrastruktur serta menjejaskan kelancaran perkhidmatan tren.
“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menceroboh kawasan larangan dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar kawasan operasi Rapid KL,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
