Kereta masuk parit cuba lari sekatan polis

Kereta Perodua Viva dinaiki dua suspek dipercayai penagih dadah yang cuba melarikan diri daripada sekatan polis terbabas dalam parit di Parit 1 Ban ARBI 15, di sini pada Khamis.
Kereta Perodua Viva dinaiki dua suspek dipercayai penagih dadah yang cuba melarikan diri daripada sekatan polis terbabas dalam parit di Parit 1 Ban ARBI 15, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tindakan dua lelaki dipercayai penagih dadah cuba melarikan diri daripada sekatan polis gagal selepas kereta dinaiki terbabas dalam parit di Parit 1 Ban ARBI 15 Tanjong Karang, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dua suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Viva bertindak melarikan diri semasa polis melaksanakan sekatan jalan di Kilometer 71, Jalan Klang-Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 dan 37 tahun sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Kenderaan dinaiki kedua-dua suspek itu memecut laju semasa ditahan dan anggota kemudian bertindak mengejar serta mengekori kenderaan tersebut.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mereka terperosok masuk ke dalam parit. Dua individu itu kemudian melarikan diri ke dalam ladang sawit berhampiran dan berjaya ditangkap," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan mendapati kereta itu telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada insurans.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut terhadap lelaki pertama berusia 31 tahun menemui satu peket lut sinar dipercayai dadah dengan anggaran berat 1.53 gram yang ditemui pada beg sandang yang dipakainya.

"Pemeriksaan individu kedua berumur 37 tahun pula mendapati beg sandang dipakai mengandungi satu tiub straw disyaki dadah dengan berat anggaran 0.55 gram dan mereka serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, hasil semakan rekod jenayah terhadap individu pertama mendapati terdapat 14 rekod lampau jenayah dan sembilan berkaitan dadah.

"Individu kedua pula mempunyai empat rekod jenayah dan 12 rekod dadah dan hasil ujian saringan air kencing turut mendapati mereka positif MOP.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," jelas Ramli.