Elak sekatan jalan raya rupanya bawa pasport palsu

Pasport disyaki palsu yang ditemui pada beg galas suspek yang ditahan selepas cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Pandan Indah, Ampang pada Selasa.
Pasport disyaki palsu yang ditemui pada beg galas suspek yang ditahan selepas cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Pandan Indah, Ampang pada Selasa.
A
A
A

AMPANG - Tindakan seorang lelaki Bangladesh yang hampir merempuh sekatan jalan raya di Jalan Pandan Indah, di sini pada Selasa, sebelum menunggang motosikalnya melawan arus membongkar penemuan 19 pasport warga asing disyaki palsu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.45 pagi semasa sekatan jalan raya yang dilaksanakan sepasukan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Menurutnya, suspek lelaki berusia 24 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas dan didapati tiada lesen memandu serta pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut dalam beg galas pada suspek menemui 14 pasport warganegara Bangladesh dan lima pasport warganegara Indonesia milik orang lain disyaki palsu.

"Ujian saringan air kencing suspek negatif dadah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek yang dipercayai penuntut universiti direman empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Katanya, polis turut menyiasat suspek di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 iaitu tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya mana-mana pasport orang lain.

"Pihak Polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan jenayah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!