Maritim Malaysia syor kenaikan pangkat Allahyarham Mohd Roshaimi

GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengemukakan syor kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi kenaikan pangkat kepada anggota yang terkorban di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis pada 27 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, syor berkenaan dikemukakan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham Laskar Kanan Teknikal Maritim, Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan.
Menurutnya, insiden berkenaan turut menyebabkan tiga lagi anggota Maritim Malaysia cedera.
"Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara, Maritim Malaysia telah mengemukakan syor kepada JPA melalui KDN bagi mempertimbangkan kenaikan pangkat secara posthumous kepada Allahyarham.
"Ia tertakluk kepada peraturan dan kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2026 di sini pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Mohd Roshaimi maut manakala tiga lagi anggota cedera selepas bot dinaiki mereka dipercayai melanggar binaan konkrit di perairan Kuala Sungai Padang berhampiran Kuala Perlis.
Ketika kejadian, mereka sedang mengejar sebuah bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, Kuala Nerang, Kedah pada jam 9.45 malam dengan istiadat pengebumian dilaksanakan Maritim Malaysia sebagai penghormatan terakhir.
Mohd Rosli berkata, kejadian itu merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh warga Maritim Malaysia.
Menurutnya, pengorbanan Allahyarham mengingatkan semua pihak bahawa setiap operasi penguatkuasaan mempunyai risiko tersendiri apabila anggota mempertaruhkan keselamatan dan nyawa demi melaksanakan amanah kepada negara.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
"Pengorbanan beliau mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap operasi penguatkuasaan, terdapat anggota yang mempertaruhkan keselamatan dan nyawa demi melaksanakan amanah kepada negara," katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memberikan perhatian kepada aspek keselamatan, kebajikan dan kesiapsiagaan anggota supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih selamat dan berkesan.
Katanya, usaha meningkatkan keupayaan anggota juga akan diteruskan menerusi latihan bersesuaian serta penggunaan aset keselamatan yang lebih berkesan.
OPV 2, OPV 3 mula dibina semula, siap dalam 36 bulan
GEORGE TOWN - Pembinaan dua kapal Peronda Luar Pantai (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sebelum ini terbengkalai kini disambung semula menerusi pelantikan syarikat baharu bagi menyiapkan kedua-dua aset berkenaan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kerja pembinaan OPV 2 dan OPV 3 akan dilaksanakan di Sarawak berikutan syarikat yang dilantik berpangkalan di Miri dan Sibu.
"Proses penyiapan kedua-dua kapal itu dijangka mengambil masa sehingga 36 bulan, termasuk urusan membawa kapal berkenaan dari lokasi penyimpanan di Klang ke Miri.
"Proses pembinaan itu dijangka mengambil masa paling lama 36 bulan untuk menyiapkan kapal berkenaan, termasuk proses mengeluarkan kapal dari lokasi sekarang di Klang untuk dibawa ke Miri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media dalam Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2026 di sini pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan, perolehan asal tiga kapal OPV APMM ditamatkan secara bersama dengan THHE Destini Sdn Bhd pada 31 Disember 2024.
Bagaimanapun, OPV 1 yang dinamakan KM Tun Fatimah telah diserahkan kepada APMM pada 2 Januari 2024.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memaklumkan kos penyiapan OPV 2 dan OPV 3 disemak kepada RM319.58 juta.
Sementara itu, Mohd Rosli berkata, APMM turut memperoleh kelulusan peruntukan berjumlah RM1.088 bilion bagi pelaksanaan 16 projek di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) Tahun 2027.
"Peruntukan itu merangkumi pembangunan infrastruktur, pemodenan aset, peningkatan keupayaan operasi serta penyelenggaraan kapal dan bot.
"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM339.94 juta diperuntukkan bagi projek fizikal termasuk pembinaan Kompleks Maritim Malaysia Negeri Johor di Mukim Tanjung Kupang, Johor," katanya.
Jelasnya, pembangunan keupayaan ini merupakan langkah strategik dalam memastikan aset dan warga Maritim Malaysia kekal berkeupayaan, berdaya tahan serta bersiap siaga menghadapi landskap ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

