Jaguh kampung tunggang kuda kini popular di New Zealand

Nik Mohd Riduan menunjukkan sebahagian gambar kejohanan yang disertainya kepada Nooraqueela
Nik Mohd Riduan menunjukkan sebahagian gambar kejohanan yang disertainya kepada Nooraqueela
A
A
A

KOTA BHARU - Kejayaan Nik Mohd Riduan Nik Abu Bakar, 31, sebagai penunggang kuda bermula selepas mengambil alih menjaga kuda bapanya, Nik Abu Bakar Che Mat, 78, ketika masih berada di sekolah rendah.

Kini, anak bongsu dari tujuh beradik itu sudah menyertai lebih 400 perlumbaan kuda di New Zealand dan Singapura selain Kuala Lumpur.

Antara kejohanan yang disertai ialah Korea Racing Authority Trophy 2019, Platinum Horse Entrepneur Club Malaysia Day Trophy 2023 dan Tan Sri Nelson Tan Celebrities Trophy.

Berkongsi kisahnya, Nik Mohd Riduan memberitahu, sebaik sahaja tamat Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah, di sini dia meminta kebenaran keluarga untuk bekerja di Selangor Turf Club.

Nik Mohd Riduan bersama Willy.
Nik Mohd Riduan bersama Willy.

"Saya sudah tidak dapat meneruskan pelajaran dan terus memberi fokus dengan mengambil peluang bekerja sambil belajar selok-belok penjagaan dan pengendalian kuda," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kedai Lalat pada Ahad.

Mengakui berketurunan Raja Jembal dari sebelah bapa, Nik Mohd Riduan memberitahu, memiliki kuda sudah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

Dia turut bertuah kerana diberi kepercayaan oleh majikannya untuk menimba lebih banyak ilmu berkaitan dan dia terbang ke New Zealand pada usia 21 tahun.

Artikel Berkaitan:

Ketika itu dia dilatih oleh jurulatih terbaik dunia, Jamie Richard sebelum menyertai beberapa pertandingan bagi menambah pengalaman.

"Saya akan mencari peluang terbaik untuk terus gah dalam bidang ini namun semua itu tidak mudah kerana memerlukan komitmen dan kesabaran yang tinggi," katanya.

Bagaimanapun, Nik Mohd Riduan yang ditemani isteri, Nooraqueela Mohd Zafri, 31, mengambil keputusan pulang ke tanah air tiga tahun lalu berikutan keadaan kesihatan bapanya yang uzur dan meneruskan kerja-kerja di Selangor Turf Club.

"Insya-ALLAH, jika keadaan bertambah baik, saya akan kembali semula ke New Zealand kerana banyak peluang yang boleh dilakukan sesuai minat dan kebolehan saya," katanya.

Nik Mohd Riduan bersama seekor kuda yang kini dijaga ahli keluarganya di Kedai Lalat.
Nik Mohd Riduan bersama seekor kuda yang kini dijaga ahli keluarganya di Kedai Lalat.

Kongsinya lagi, insiden ditendang kuda di bahagian sebelah kanan perutnya menyebabkan dia diberi cuti sakit kira-kira dua bulan dan akan berakhir 16 Februari ini.

"Ini merupakan insiden kali pertama sejak lebih 15 tahun dalam bidang ini. Saya sama sekali tidak menyalahkan kuda yang kami panggil Seven Sunday itu kerana mungkin ada perkara yang membuatkan haiwan itu tidak gembira," katanya lagi.

Tambah Nik Mohd Riduan, dalam tempoh cuti sakit itu, dia melatih kuda milik rakan-rakan di Kelantan selain memantau kesihatan enam lagi kuda miliknya termasuk seekor yang sudah berusia 30 tahun bernama Willy.

Kesemua kuda itu dijaga ibunya, Aminah Deraman, 65, dan ahli keluarga lain yang tinggal berdekatan.

Dalam kesibukannya meneruskan tugas dan bersedia untuk perlumbaan kuda pada masa akan datang, Nik Mohd Riduan turut menyimpan impian memiliki kandang kuda lebih sistematik dan kawasan yang luas bagi memudahkan aktiviti berkuda.

Dia yakin Kelantan mampu melahirkan lebih ramai generasi penunggang kuda kerana penunggang kuda dari Kelantan turut menjadi kebanggaan pemilik kelab berkuda di luar negara kerana diakui hebat dan berani.

"Antara anak kelahiran Kelantan yang berjaya dikenali dengan nama Harry Kasim, R Shafiq, J kamaruddin dan R Nuqman," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!