Pas kena jujur bukan politikkan keputusan mahkamah - Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Pas perlu bersikap jujur kepada pengikutnya dengan memberi penerangan jelas mengenai keputusan petisyen yang difailkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan ini penting bagi meleraikan kekeliruan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

"Adalah lebih baik Pas bersikap jujur daripada menggunakan keputusan ini sebagai bahan politik yang menjejaskan keharmonian undang-undang negara.

"Ramai dalam kalangan ahli Parlimen Pas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepatutnya mengambil peranan menjelaskan bagaimana proses perundangan dibuat dan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan yang dalam lafaz sumpah setia semua (ahli Parlimen dan ADUN) berjanji untuk mempertahankan.

"Pas sepatutnya mengambil semangat keputusan dengan memperbaiki proses pembikinan undang-undang jenayah syariah dengan lebih teliti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat memutuskan 16 daripada 18 peruntukan yang difailkan Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Natasha, 26, dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan majoriti itu dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara berkata, Pas sepatutnya mengambil semangat keputusan dengan memperbaiki proses pembikinan undang-undang jenayah syariah dengan lebih teliti.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, Pas bersikap sebaliknya dengan mengelirukan pengikut parti itu dan sebahagian umat Islam kononnya Mahkamah Syariah terancam dan dicabar.

Lebih malang lagi ujarnya, ada pihak yang mendakwa undang-undang ALLAH dibatalkan atas kehendak golongan liberal.

"Ini satu pembohongan yang boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian yang menjejaskan keharmonian negara sekali gus tidak menghormati perlembagaan," katanya.