Tiada bayaran dikenakan daftar PADU - Mohd Uzir

Mohd Uzir mengadakan pemantauan pelaksanaan PADU peringkat Negeri Pahang di Kaunter PADU di Pusat Khidmat Masyarakat JaPen pada Jumaat.
Mohd Uzir mengadakan pemantauan pelaksanaan PADU peringkat Negeri Pahang di Kaunter PADU di Pusat Khidmat Masyarakat JaPen pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Orang ramai diminta waspada sekiranya ada individu datang ke rumah menawarkan bantuan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Langkah itu bagi memastikan orang ramai tidak menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan dengan mengenakan sejumlah bayaran terhadap bantuan yang ditawarkan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, setakat ini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak menjalankan khidmat pendaftaran PADU dari rumah ke rumah sebaliknya ia dilakukan secara bersasar dengan penglibatan ketua komuniti setempat.

Mohd Uzir menemui beberapa penjawat awam yang berada di Pusat Khidmat Masyarakat JaPen untuk mengemas kini maklumat sistem PADU pada Jumaat.
Mohd Uzir menemui beberapa penjawat awam yang berada di Pusat Khidmat Masyarakat JaPen untuk mengemas kini maklumat sistem PADU pada Jumaat.

Menurutnya, tiada sebarang caj dikenakan membabitkan bantuan yang disediakan dari segi pendaftaran dan mengemas kini data melalui sistem berkenaan.

"Kita tidak menolak kemungkinan akan ada pihak yang mengambil kesempatan sebagai pasukan yang melaksanakan PADU untuk mengaut keuntungan.

"Selain itu, ada juga pihak yang menyebarkan maklumat palsu tentang sistem ini hingga menimbulkan kebimbangan orang ramai untuk berdaftar dan berkongsi butiran peribadi serta butiran perbankan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Pemantauan Pelaksanaan PADU Peringkat Negeri Pahang di Kaunter PADU di Pusat Khidmat Masyarakat Jabatan Penerangan (JaPen) di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Pengarah DOSM Pahang, Razaman Ridzuan.

Mohd Uzir berkata, seramai 148,422 orang atau 13.6 peratus daripada lebih satu juta penduduk negeri Pahang berumur 18 tahun dan ke atas telah mengemaskini maklumat di sistem PADU sehingga 8 Februari lalu.

Jelas beliau, sebanyak 167 kaunter fizikal telah dibuka di Pahang termasuk di Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Pusat Tranformasi Bandar (UTC), pejabat DOSM Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kaunter fizikal turut dibuka di kawasan 'hotspot' bagi memberikan penerangan dan kefahaman kepada masyarakat berkenaan kepentingan pengemaskinian maklumat profil individu dan isi rumah dalam sistem PADU.

"Setakat ini, DOSM Pahang juga telah melaksanakan lebih 700 sesi turun padang bagi menyampaikan maklumat dan membantu penduduk di mengemaskini maklumat melalui sistem tersebut," katanya.