Polis minta orang ramai salur maklumat kes warga emas disamun

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KUALA PILAH - Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian samun membabitkan seorang warga emas di Kampung Kepis Ulu, Khamis lalu tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, dalam kejadian berkenaan mangsa kehilangan telefon bimbit dan wang tunai melibatkan kerugian RM250.

"Mangsa yang mengalami patah tulang rusuk kanan akibat kejadian itu menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah namun keadaannya stabil.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini memaklumkan kepada pihak polis dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ridhuan Rosli di talian 014-6263495 atau 06-4842222," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang warga emas, Pasah Amat trauma selepas dipercayai bergelut dengan penyamun yang memasuki kediamannya di Kampung Air Besar, Kepis Ulu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa dikejutkan dengan bunyi bising di bahagian atas rumah sebelum bertindak membuka pintu tengah untuk memeriksanya.

Pasah bagaimanapun dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki memakai topeng lalu berlaku pergelutan.

Artikel Berkaitan: