ABIM minta umat Islam bertenang

Ahmad Fahmi. Laporan Sinar Harian
Ahmad Fahmi. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru umat Islam di negara ini untuk bertenang dan elak berpolemik sehingga boleh menimbulkan kegusaran ramai.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid menjelaskan bahawa tidak ada kena mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara.

Menurutnya, ia khusus membicarakan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN Kelantan) untuk menggubal perundangan yang berkaitan.

"ABIM menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang telah menggariskan langkah-langkah segera untuk menangani keputusan kes ini dan seterusnya meningkatkan usaha memperkasa mahkamah syariah.

"Selain itu, ABIM bersedia terlibat sama menjayakan sebarang usaha reformasi hal ehwal pentadbiran agama Islam melalui Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, 26, memfailkan petisyen terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enekmen itu terbatal dan tidak sah.

Antaranya Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat), Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat, mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang itu.