Kampung Baru Kuala Lumpur layak diiktiraf tapak warisan UNESCO

Kampung Baru yang merupakan satu-satunya kampung Melayu di Kuala Lumpur layak dicadangkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. (Gambar kecil: Raden)
Kampung Baru yang merupakan satu-satunya kampung Melayu di Kuala Lumpur layak dicadangkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. (Gambar kecil: Raden)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kampung Baru merupakan kampung terawal di Kuala Lumpur lebih layak diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ahli Lembaga Jemaah Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampong Bharu, Raden Salikun Mui berkata, banyak bahan sejarah yang boleh dikongsikan untuk rujukan terhadap cadangan pengiktirafan tersebut.

Menurutnya, adalah lebih baik kerajaan mendahulukan pengiktirafan kepada kampung Melayu yang lebih berusia berbanding kampung Cina.

"Sepatutnya Kampung Baru yang diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia kerana berstatus tanah Melayu dan telah berusia 124 tahun.

"Cadangan ini pernah disyorkan MAS semasa pemerintahan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad namun perkara ini senyap begitu sahaja.

"Sekarang kami serahkan kepada wakil rakyat kami, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Ahli Parlimen Titiwangsa) untuk melihat kembali perkara ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mencalonkan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Mengulas lanjut katanya, Kampung Baru merupakan satu-satunya kampung yang masih bertahan di Kuala Lumpur sedangkan lokasi lain seperti Abdullah Hukum dan Kerinchi sudah hilang ditelan pembangunan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kerajaan perlu menumpukan kerja naik taraf prasarana dan kemudahan untuk memelihara nilai sejarah kampung di kota raya.

Tambah beliau, bahan sejarah itu kemudian boleh dijadikan rujukan dan produk pelancongan buat pelancong yang berminat untuk mengetahui latar belakang pembangunan dan kewujudan kampung di Malaysia.

"Sekarang memang ramai pelancong datang ke sini tetapi hanya untuk makan-makan dan mereka tak tahu sejarah Kampung Baru.

"Banyak koleksi gambar antaranya ketika zaman Jepun dan British yang kami simpan dalam pejabat MAS.

"Bahan-bahan ini siap sedia dipertontonkan untuk rujukan. Jika di Jepun ada lokasi perkampungan untuk tarikan pelancong, kami harap Kampung Baru juga boleh ke arah itu," katanya.